Saturday, January 31, 2009

ANUGERAH CEMERLANG

ANUGERAH memberi erti pemberian, ianya lebih bererti dan lebih hebat bunyinya apabila kita gunakan 'anugerah' bukan pemberian. Anugerah adalah satu pemberian yang sangat bermakna bagi seseorang pelajar, ia akan menjadi sejarah dan akan dikenang-kenang sampai bila-bila.
Cemerlang atau dalam bahasa Inggerisnya 'excelent', excelent pula memberi erti kehebatan atau keunggulan, jadi tak syak lagi anugerah dikurniakan kepada mereka yang unggul atau hebat.
Kepada anak-anak yang menerima anugerah pada tahun-tahun yang lalu dan akan datang diucapkan syabas dan teruskan kecemerlangan anda. Kepada mereka yang belum lagi mendapat anugerah ini, jangan merasa jauh hati atau putus asa, kerana masih banyak masa lagi untuk mengondol beberapa anugerah.
Tahukah pelajar-pelajar, anugrah cemerlang dalam pelajaran hanya satu bahagian dari banyak cabang. Untuk menjadi seorang yang cemerlang kita seharusnya mempunyai ciri-ciri lain. Kita seharusnya mempunyai sifat-sifat terpuji yakni bijaksana, tekun, sabar, bertolak ansur, suka membantu, bijak menguruskan masa, bijak mengatur kerja dengan mengikut keutamaan, dan yang paling penting patuhi suruhan Allah SWT, ikuti ajaran Rasulullah SAW, patuh kepada kedua ibu bapa, hormat kepada guru, juga hormat kepada orang-orang lebih tua dan saling hormat menghormati sesama kawan taulan, jangan sekali-kali memiliki dan hendaklah dikikis segala sifat yang keji.
Kita banyak mendengar seseorang yang berjaya dalam pelajaran, ia juga cemerlang dalam sukan dan lain-lain bidang, ini menunjukkan mereka pandai mengatur masa. Masa belajar mestilah tumpukan kepada pelajaran, beri perhatian apa yang diajar guru di dalam kelas, jangan bergurau senda masa guru mengajar. Mereka yang memberi tumpuan seperti ini tak perlu lagi pergi ke kelas tusyen. Oleh itu bila dalam kelas belajar bersungguh-sungguh.
Cuba kita hayati bagaimana seseorang pelajar mengondol beberapa hadiah dan beroleh kejayaan yang amat membanggakan dalam satu-satu ujian atau peperiksaan, bila di ajukan pertanyaan apakah rahsia kejayaan mereka yang berjaya memprolehi 8,9,10 A dan sebagainya dalam pelajaran memberikan jawapan yang sama: memeberi tumpuan sepenunya kepada pelajaran yang disampaikan oleh guru, mempunyai jadual ulangkaji pelajaran beberapa jam di rumah yang rutin dan konsisten, belajar secara berkumpulan bersama-sama kawan-kawan dan bertanya kepada guru sekiranya kurang/tidak faham. Mana-mana pelajar yang lalai dan tidak bersedia untuk menghadapi ujian/peperiksaan, mereka tidak akan beroleh kejayaan yang cemerlang. Belajar atau mengulang kaji di saat akhir biasanya tidak akan menjadi pelajar contoh. Nasib?, mereka yang malas dan banyak alasan selalu berharap kepada nasib, sebenarnya mengharapkan kepada nasib tidak menjanjikan apa-apa.
Hayatilah baik-baik firman Allah ini (Mahfumnya): Dan Allah mengeluarkan dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur
- An-Nahl ayah 78.
Ini bermakna masa kita dilahirkan sama saja, tetapi yang membezakan adalah pendidikan dan asuhan. Pendidikan dunia dan akhirat di samping asuhan jasmani dan rohani yang sekata berupaya membentuk seseorang menjadi apa yang dicita-citakan.
Ilmu sangat mustahak dan perlu dipelajari oleh setiap insan kerana tanpa ilmu walau sehebat mana pun sesuatu bangsa itu tetap akan dipandang rendah kerana kejahilannya. Bangsa yang maju adalah bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dan mempunyai pelbagai kepakaran akan mendapat ketinggian darjat di sisi Allah seperti yang dijanjikan dalam firmanNya:
Maksudnya: Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan bagitu juga orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan beberpa darjat.- surah Al Mujadilah ayat 11.
Justru itu ibu bapa adalah tonggak bagi sesebuah keluarga, masyarakat dan negara, peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam pembentukkan sesebuat keluarga yang cemerlang adalah sangat penting sekali, asuhan dan didikan keagamaan di samping didikan akedamik yang diberikan oleh ibu bapa merupakan benteng utama dalam menghalang anak-anak daripada tercebur ke lembah yang ditegah oleh syariat Islam seperti menghisap/penagih dadah, menjadi mat rempit dan lain-lain kegiatan yang amat dilarang dan sangat merugikan ibu bapa, masyarakat, bangsa, agama dan juga negara.
Harapan kita kepada anak-anak yang telah menerima kurniaan/anugerah dan yang akan menerima simpanlah tekad di hati untuk meneruskan kecemerlangan. Kita ingin melihat satu hari nanti akan lahir anak-anak yang akan menjadi pakar dalam bidang-bidang yang mereka idamkan seperti menjadi angkasawan, doktor, jurutera, pakar ekonomi sekaligus hafiz al-Quran. Ertinya cemerlang dalam akademik, cemerlang juga dalam agama atau dengan makna lain cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat - hasanah di dunia dan hasanah di akhirat- pendek kata untung di dunia tak rugi di akhirat, "dunia dijunjung dan akhirat dijenjeng" inilah cita-cita kerajaan sekarang. Insya-Allah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
KESIMPULANNYA: Untuk itu para pelajar perlulah bersungguh-sungguh menimba ilmu pengetahuan terutama ilmu-ilmu berkaitan semasa di dunia seiring dengan ilmu pengetahuan untuk menghadapi alam yang kekal di akhirat kelak. Remaja/pelajar perlu meletakkan tanggungjawab menuntut ilmu sebagai satu agenda yang pertama dan utama. Anda semua seharusnya membelakangkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan . Anda perlulah menumpukan sepenuh masa kepada pembentukkan insan yang cemerlang. Masa persekolahan anda adalah zaman yang paling bernilai dan amat penting di mana peluang ini akan berlaku sekali sahaja dalam usia seorang makhluk bernama manusia. sekali lagi ditekankan"Berharap kepada nasib semata-mata tidak menjanjikan apa-apa. Bukankah usaha itu tangga kejayaan.

No comments:

Post a Comment