Sunday, February 8, 2009

RASUAH

RASUAH

RASUAH – seperti barah, barah jika tidak diubati di peringkat awal akan merebak dan memusnahkan kehidupan, begitulah bahayanya rasuah bagi sebuah kehidupan dan juga bagi sebuah Negara.

Kenapa tidak? Rasuah boleh menutup mulut manusia dari berkata-kata benar, rasuah boleh menutup meriam dari menentang musuhnya. Di sebalik itu, rasuah boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh membenarkan sesuatu yang salah, dan menyalahkan sesuatu yang benar.
Rasuah boleh membeli kasih sayang. Rasuah boleh mengotorkan jiwa orang yang bersih, rasuah juga boleh membuka pintu-pintu rahsia dan boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh memalingkan orang yang ikhlas menjadi khianat, menukarkan pahlawan menjadi penakut dan akhirnya menyebabkan kubu-kubu dan benteng-benteng kukuh tidak berguna dan tentera yang banyak tidak bererti. Dari sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, (Maksudnya): “Tuhan melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”
Jika kita telah mengetahui rasuah itu adalah suatu penyakit yang akan membawa keruntuhan masyarakat dan negara, kita sebagai orang yang sihat tentu tidak mahu melihat peyakit ini menular memusnahkan kita dan keturunan kita, seterusnya melemahkan Negara.
Sebenarnya ia merugikan, memalukan dan amat menjijikkan.
Apa yang nyata, ia menguntungkan (untung yang sementara) segelintir manusia yang lapar, lahab dan rakus yang berfikiran wang adalah segala-galanya. Hilang harga diri kerana mengejar daki dunia ini.
Mereka yang menabur wang bagi mendapatkan kedudukan, jika mereka ini beroleh kemenangan, patut merasa malu kepada diri sendiri. Kemenangan itu bukan kerana kewibawaan, ia adalah kemenangan yang dibeli dan bukan dipilih kerana ketokohan.
Perbuatan ini (pemberi dan penerima) amat ditegah dalam Islam.
Rasuah bukan hanya berbentuk wang ringgit sahaja, tetapi menyogokkan wanita juga adalah satu bentuk rasuah yang amat hina.
Rasuah amat berbahaya, faedahnya cuma kembali kepada mereka yang memberi dan menerimanya sahaja, sedangkan bahayanya apabila sudah membesar akan melibatkan seluruh bangsa dan negara.
Rasuah yang merebak dalam kehidupan masyarakat meninggalkan padah dan gejala yang sangat buruk dan negatif. Ia dapat memutar belitkan kebenaran, malah kebatilan dapat menjadi kenyataan, serta ia meracuni nilai akhlak yang mulia.
Meskipun rasuah belum ditemui titik noktahnya, namun ia bukan lah satu mistik di alam misteri. Sesungguhnya barah sosial ini wajib dibanterasi, kerana ia mengundang akibat yang sangat kompleks dalam kehidupan masyarakat samada di dunia mahupun di akhirat. Malah sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah boleh merugikan negara dan negara akan jatuh muflis sekiranya gejala buruk ini tidak dibanteras hingga ke akar umbinya.
Mungkinkah penyakit ini dapat dikikis dalam UMNO? Kita patut sedar akan hakikat rasuah ini. Jangan kita fokuskan rasuah kepada UMNO semata-mata, kerana rasuah ada di mana-mana yang dilakukan oleh segelintir kakitangan yang tidak amanah seperti di Bandaraya, di majlis-majlis tempatan, di pejabat-pejabat kerajaan seperti di pejabat tanah, di JPJ, puspakom dan juga Polis (setakat menyebut satu dua contoh sahaja). Umum mengetahui semua ini. Rasuah boleh terjadi di mana-mana sahaja. Jika yang memberi dan yang menerima mempunyai kesedaran, ia tidak mustahil dapat dikikis dan dibersihkan puncanya. Apa yang pasti, mereka yang terlibat (pemberi dan penerima) patut merasa malu. Malu pada diri sendiri dan malu kepada Tuhan yang sentiasa memerhati.
Perangai rasuah (untuk memerangi sediakan senjata yang setanding dengan kekuatannya, jangan sebutkan sahaja ‘perangai’ tetapi senjatanya tiada yang menggerunkan musuh). Tanamkan kebencian pada rasuah, bersihkan darah daging anda dari unsur rasuah dan hiduplah tanpa rasuah.

No comments:

Post a Comment