Friday, December 18, 2009

MAAL HIJRAH, PENGAJARAAN DAN IKTIBARNYA

MAAL HIJRAH, sejarah Agong yang semestinya diingati oleh semua penganut Islam di dunia ini.

Walaupun jarak masa hijrah masa yang dilalui oleh Rasulullah saw hingga ke saat ini telah melebihi 15 abad, namun nilai-nilai yang terkandung di dalamnya tetap utuh dan teguh, diingati oleh semua orang Islam sehingga mampu menjadi modal untuk membina kekuatan akidah.
Kita semua maklum "Tahun Hijrah" tahun bagi kalendar orang Islam (yang dikira dari penghijrahan Nabi kita Mohammad saw dari Makkah ke Madinah). Dalam satu cerita yang sah bahawa Nabi Mohammad saw telah mula mengunakan tarikh Hijrah ini dalam surat-surat baginda. Dalam surat perjanjian baginda dengan orang Nasara Najran baginda memerintahkan Saiydina Ali supaya menulis di bawah perjanjian itu menyebutkan tarikh tahun ke lima Hijrah.

Kita sekarang sewajarnya menghayati roh Hijrah ini agar ia terlaksana dalam masyarakat kita. Pada hari ini, kita sebenarnya amat sedar bahawa masyarakat sekarang berbeza dari masyarakat dahulu, lebih-lebih lagi dalam permasalahan dalam kehidupan dunia yang serba serbinya dikatakan moden. Kita sekarang hidup dalam dunia yang sangat mencabar, kerana pengaruh kebendaan telah mengatasi segala-galanya, manakala penghayatan nilai-nilai yang mulia mungkin tersasar dalam kehidupan kita.

Walaubagaimana pun, bagi umat Islam khasnya di negara kita, setiap kali kedatangan tahun baru Hijrah, ia disambut dengan pelbagai pengisian, ia menjadi satu kemastian bagi memperingati tahun yang amat bersejarah kepada umat Islam ini, tetapi yang pentingnya kita jangan lupa mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya.

Jadikanlah perayaan dan sambutan tahun baru Hijrah ini menuju kesejahteraan serta memahami erti Hijrah itu sebenarnya. Khasnya kepada generasi muda hari ini disarankan supaya mampu memantapkan diri mereka dengan kekuatan akidah, kekuatan ilmu dan teknologi serta kekuatan organisasi diri dari unsur-unsur negatif, penyelewengan serta was-was, jadikan diri kita orang yang berilmu pengetahuan sebagai bekalan penyuluh hidup hari ini dan masa-masa akan datang.

Hijrah sebenarnya kesabaran, lihatlah bagaimana kesabaran para sahabat menempuh halangan dalam berhijrah. Abu Bakar bersabar menahan kesakitan dipatuk ular, Abdul Rahman Auf meninggalkan harta kekayaan di Makkah dan sebahagian yang lain bersabar menempuh berbagai bentuk kepayahan bagi tujuan berhijrah, oleh itu kita hendaklah sentiasa mempertingkatkan kesabaran kerana ia adalah senjata utama melawan segenap halangan yang bakal mendatang. Kesabaran dalam melaksanakan segala suruhan Allah dan juga kesabaran untuk terus beristikomah ke arah matlamat yang dicita-citakan.

Marilah kita renung akan akan firman Allah dalam surah at-taubat ayat 20-21 yang mafhumnya: Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah degan harta dan jiwa mereka, mereka lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang menang. Allah telah memberi khabar gembira kepada mereka dengan rahmat dan keredhaan-Nya serta syurga di mana di dalamnya nikmat-nikmat yang tetap.

Selamat menyambut Maal Hijrah - Hijratul Qalbiah (perpindahan hati) dan Hijratul Badaniah (Perpindahan diri)

Tuesday, December 8, 2009

10 ZULHIJJAH - PENYEMBELIHAN SUNAT SEMATA-MATA IBADAH KEPADA ALLAH

ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, Walillahilham.

Hari ini - 10 Zulhijjah merupakan salah satu hari kebesaran Islam. Hari ini kita mengagongkan Allah SWT dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya, kerana dengan limpah keagongan-Nya telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan negara kita. Dengan yang demikian kita dapat beramal, melaksanakan tugas hari ini dengan sempurna. Tidak ada amalan yang paling mulia pada hari raya qurban ini melainkan menumpahkan darah binatang ternakan kita iaitu berkorban dengan menyembelih haiwan seperti lembu atau kambing adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah untuk membantu fakir miskin dan menikmati daging qurban.

Pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidiladha ini adalah kesatuan umat Islam. Islam adalah umat yang satu, di mana saja umat Islam berada ia tetap umat yang satu, ia adalah umat yang bersama-sama mengikrarkan bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Mohammad saw itu adalah Rasulullah, ia adalah umat yang satu, menghadap satu kiblat, sujud kepada Tuhan yang satu Allah Rabulalamin, ialah yang satu yang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadat haji. Adakah umat yang lain di atas muka bumi ini yang mempunyai seperti Islam? Maka sudah sewajarnyalah kita melahirkan rasa syukuR kepada Allah SWT. Kita tidak mampu berpecah belah, kita tidak mampu membiarkan anasir-anasir taksub dan fanatik terhadap sesuatu fahaman puak atau kumpulan tertentu untuk memecah-belahkan kita, kita tidak mampu membiarkan apa-apa bisikkan di telinga kita bahawa fahaman kita yang baik, sedangkan fahaman sahabat seislam kita yang lain serba kekurangan. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat, lihatlah bagaimana Allah SWT mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu?. Hayatilah firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai dan berpecah belah- surah Ali Imran ayat 103.

Rasulullah saw pula berpesan dalam sabdanya yang mafhumnya Janganlah kamu berbalah, jangan kamu benci membenci dan jangan kamu belakang membelakangi dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang sentiasa berada di dalam persaudaraan dan tidak harus bagi seseorang muslim meninggalkan saudaranya tanpa memberi salam sesama mereka lebih daripada tiga hari -

Aidiladha juga dikaitkan dengan ibadat qurban yang telah pun dilaksanakan sejak sebelum Nabi Mohammad saw lagi. Sesungguhnya ibadat qurban bukan semata-mata kita menyembelih haiwan samada lembu atau kambing, tetapi falsafah pengorbanan yang terdapat dalam ibadat tersebut. Tiada kejayaan dapat ditempa tanpa pengorbanan. Rasulullah saw dan para sahabat telah memberikan kepada kita contoh pengorbanan yang sebenar, di mana mereka telah mengorbankan nyawa dan harta benda demi kejayaan Islam. Nabi Allah Ibrahim AS pula sanggup menyembelih Nabi Ismail putra kesayangannya semata-mata tunduk patuh kepada perintah Allah SWT. Contoh-contoh inilah yang seharusnya ada dalam sanubari setiap umat Islam samada dalam usaha melaksanakan ibadat ataupun dalam proses pembangunan negara dan ummah. Jika segala usaha kita dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, InsyaAllah, kejayaan bakal dinikmati dan tentulah umat Islam dan negara kita akan terbela.

Dalam kita merayakan Aidiladha ini marilah sama-sama kita mengeratkan tali silaturrahim dan kemesraan sesama umat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya. Mudah-mudahan Allah SWT akan menyatukan hati-hati kita dan nmenjauhkan kita daripada hasad dengki dan sifat keji yang membawa malapetaka, kekacauan dan perpecahan sesama kita. Hari ini kita telah melihat kehancuran dan kemusnahan sesebuah negara kerana perpecahan sesama umat Islam, perkara ini tentulah akan mendatangkan pelbagai masalah yang akhirnya akan menghancurkan negara tersebut. Iktibar inilah yang amat perlu kita renungi dan insafi. Marilah kita berusaha mengekalkan perpaduan sesama umat Islam bukan saja sewaktu menyambut hari-hari kebesaran Islam, tetapi setiap hari, masa dan ketika .

Akhirnya saya serta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat semoga Allah SWT menerima amal kita dan mudah-mudahan kita dikurniakan dengan keberkatan, Amin.

Allahhu akbar, Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Walilillahilham. Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
(petikan ucapan yang disampaikan kepada Jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah sempena menyambut Aidilada)