Monday, October 26, 2009

KORBAN - MENDEKATI DIRI KEPADA ALLAH

Dato'-Dato', tuan-tuan yang berbahgia dan di rahmati Allah sekalian,
Tidak beberapa hari lagi kita akan sampai kepada satu lagi hari kebesaran Islam. Kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha insyaAllah pada hari Jumaat 27/11/2009 yakni lebih kurang sebulan lagi dari sekarang.

Kepada Muslimin muslimat yang ingin menyertai dalam ibadat korban di Masjid ini jangan dilepaskan peluang ini untuk bersama-sama dalam ibadat ini. Korban atau akikah adalah ibadat sunat bagi setiap umat Islam yang mampu, manfaatnya cukup banyak, baik kebaikan di dunia mahupun akhirat.

Ulama Islam bersepakat bahawa hukum korban ialah sunat muakat, sunat yang hampir kepada wajib, ini berasaskan kepada dari beberapa sumber dari Al Quran dan hadis, antaranya firman Allah dalam surah Al-Kausar ayat satu dan dua yang memberi maksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Jadi nyatalah bahawa ibadat korban di lakukan semata-mata untuk mendekati diri kepada Allah SWT melalui penyembelihan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, kerbau, biri-biri dan kibas. Penyembelihan ini hanya boleh dilakukan pada hari raya Adha atau pada hari tasyrik berikutnya. Waktu penyembelihan haiwan korban ialah sejak khatib turun dari atas member setelah selesai berkhutubah solat Aidiladha hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Dapatlah kita fahami waktu penyembelihan binatang korban hanya empat hari dalam setahun.

Korban boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang cukup syaratnya, samada yang sedaang melakukan ibadat haji di Makkah atau di mana sahaja ia berada.

Di samping itu Rasulullah saw pernah memberi amaran atau ingatan kepada orang-orang yang berkemampuan untuk berkorban, tetapi enggan melakukannya, amaran seperti ini dapat difahami dari sepotong hadis Rasulullah saw yanng bermaksud: "Barangsiapa yang ada kemampuan tetapi ia tidak berkorban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami".

Ketika penyembelihan korban ada beberapa sunat-sunat patut diketahui, antaranya:

  • Didahului membaca "Bismillahhir Rahmanir Rahim
  • Sesudah membaca Bismillah, hendaklah bertakbir tiga kali
  • Selawat dan salam kepada Nabi
  • Menghadap kiblat dan
  • membaca doa supya korban itu diterima oleh Allah seperti maksudnya: "Oh Tuhan, nikmat ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, maka terimalah daripadaku".
"SELAMAT MENJALANKAN IBADAT KORBAN - BERSAMA MENEGAKKAN SYI'AR ISLAM"

Ikhlas dari:

(Hj. Abdullah Hj. Abd. Rahman)
Pengerusi
Masjid Abu uabidah Al Jarrah

(surat siaran kepada anak kariah dan kepada Pengerusi-Pengerusi Surau di bahwah kariah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai sempena Aidiladha 1430 H)