Monday, July 27, 2009

PUASA

BULAN Ramadan adalah bulan yang diwajibkan (fardu ain) berpuasa kepada penganut Islam yang mukallaf. Ibadat puasa salah satu rukun Islam yang lima ini telah mula difardukan kepada umat Islam ialah pada tahun ke dua hijrah.
Puasa (assaum) bererti menahan (al-imsak) daripada sesuatu perkara seperti firman Allah SWT dalam surah Mariam ayat 26 (mafhumnya): Sesungguhnya aku telah berjanji (bernazar) bagi Tuhan yang bersifat pengasih akan mengerjakan puasa - yakni menahan diri dan diam dari berkata-kata.
Dalam istilah umum syarak pula membawa erti menahan diri daripada perkara-perkara tertentu, oleh orang tertentu, pada waktu-waktu tertentu dengan beberapa syarat
Kesebulatan pendapat (ijmak) bahawa kita diwajibkan berpuasa apabila telah yakin betul datangnya bulan Ramadan dengan melihat anak bulan (rukyah al hilal) pada malam tiga pulu Syaaban. Apabila anak bulan tidak kelihatan maka hendaklah digenapkan Syaaban tiga puluh hari, ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw (mafhumnya): Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan (Ramadan) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat anak bulan (Syawal). Kamudian jika kamu terhalang oleh awan maka genapkanlah bilangan Syaaban tiga puluh hari. - Riwayat Bohari dan Muslim
Penyaksian rukyah "al hilal" ini hendaklah datangnya dari seorang atau dua orang yang adil.
Pada siangnya (mulai terbit fajar hingga terbenam matahari) sesaorang yang berpuasa hendaklah menahan diri diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. FirmanAllah (mafhumnya): Dan makanlah dan minumlah sehingga nampak jelas olehmu benang putih dari benang hitam, yakni fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam - Surah Al-Baqarah ayat 187.
Antara perkara yang menjadikan puasa itu terbatal ialah
  • Makan atau minum dengan sengaja.
  • Memasukkan sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga yang ada di tubuh badan.
  • Muntah dengan sengaja.
  • Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
  • Keluar mani dengan disengajakan, (jika keluar mani kerana bermimpi walaupun di siang hari tidak batal puasanya).
  • Datang haid atau nifas
  • Gila, walaupun sekejap masa dan
  • Murtad.
Allah berfirman, (mafhumnya): Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaiman diwajibkan atas orang-orang dahulu daipada kamu supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah): beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makanan orang miskin (secupak makanan asasi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya). Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui. - Al Baqarah 183-184
Puasa bulan Ramadan hukumnya adalah wajib kepada lelaki dan perempuan yang telah cukup sayarat-syaratnya:
  • Islam - orang yang masih belum Islam tidak diwajibkan berpuasa
  • Sihat tubuh badan - sihat di sini bererti berupaya mengerjakan puasa dengan sempurna dan memenuhi kewajipannya.
  • Telah sampai umur atau akhil baligh.
  • Tinggal secara tetap di sesuatu tempat. - maksud tinggal tetap di sini sesaorang itu tidak dalam perjalanan dengan jarak yanng lebih "dua marhalah"
Pengecualian Puasa
Antara mereka yang diberi pengecualian atau diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa (namun tidaklah dibebaskan dari wajib berpuasa secara mutlak) adalah:
  • Anak-anak yang belum baligh - walaupun anak-anak yang belum mencapai umur baligh tidak diwajibkan berpuasa tetapi amatlah baik andainya ibu bapa dapat melatih serta membimbing anak-anak mengerjakan ibadat puasa. Mungkin di peringkat permulaannya berupaya hingga setengah hari, tiga perempat hari, mengikut kemampuannya. Bila sampai ketikanya mereka wajib berpuasa tidaklah menjadi asing baginya dan mampu melaksanakan kewajipan ini dengan baik. Dalam hal mengerjakan ibadat ini Rasulullah saw menasihatkan ibu bapa dalam sebuah sabdanya, (maksudnya): Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang bila mereka berumur tujuh tahun, dan pukulah mereka bila mereka berumur sepuluh tahun (jika engkar tidak mahu mengerjakanny).
  • Orang sakit - seseorang yang jatuh sakit mereka tidak berupaya meneruskan puasanya dikhuatiri dengan berpuasa menambahkan kesakitannya, mereka bolehlah berbuka dan wajib qada.
  • Orang yang tidak waras - yang tidak dapat memahami apa perbuatan yang dilakukannya, atau lebih tepatnya orang gila, dan gilanya itu datang pada siang hari, mereka yang demikian tidak menjadi kewajipan berpuasa baginya, sabda Rasulullah saw, (maksudnya): diangkat pena (tidak dicatat) dari tiga orang; orang gila hingga sembuh, orang tidur hingga ia jaga dan kanak-kanak hingga ia bermimpi (dewasa) ia (orang gila) diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan.
  • Orang yang telah terlalu tua - (lelaki atau perempuan) yang langsung tidak berupaya berpuasa (dikuatiri jika mereka berpuasa akan merosakkan lagi keadaan fizikal mereka yang telah lemah).. Puasa yang ditinggalkan oleh gulungan ini hendaklah diganti (diwajibkan) dengan membayar fidyah iaitu sebanyak satu cupak (3/4 litter seharai puasa yang ditinggalkan) makanan yang boleh mengenyangkan (makanan asasi - Malaysia: beras) andainya mereka ini tidak berkemampuan mengadakan fidyah ini maka menjadi tanggungjawab ahli keluarganyalah melaksanakannya, orang-orang ini tidak diwajibkan qada.
  • Pitam sepanjang hari - mereka yang pitam sepanjang hari harus berbuka dan wajib qada.
  • Perempuan hamil - jika dikhuatiri membahayakan diri atau kandungannya diharuskan berbuka. Mereka ini wajib qada dan membayar fidyah setiap hari puasa yang ditinggalkan berdasarkan firman Allah surah Al Baqarah ayat 184 (mafhumnya): dan di atas mereka yang dapat menunaikan tetapi dengan mengandung keberatan puasa hendaklah mengeluarkan fidyah dengan memberi fidyah dengan memberi makan kepada orang-orang miskin.
  • Ibu yang menyusukan anak - jika mereka bimbang dengan berpuasa akan memudaratkan dirinya juga bayinya, mereka harus berbuka dan wajib qada.
  • Wanita dalam hai dan nifas - mereka tidak diwajibkan berpuasa, jika berpuasa pun terbatal puasanya. Mereka wajib qada.
Hikmat-hikamh daripada ibadat puasa ini amatlah banyak, antara hikmat yang jedlas ialah:
  • Bila sesaorang berpuasa ia tidak mencari yang lain kecuali keredhaan Allah serta rahmatNya.
  • Sesaorang yang sedang berpuasa seharus menjaga dirinya dari angan-angan yang kotor dan tidak berguna apatah lagi kepada yang tidak dibenarkan oleh agama. Bagi menyelamatkan nilai puasanya, sesaorang yang berpuasa seharusnya menjaga dirinya dari perilaku yang menjejaskan erti puasanya.
Untuk menjaga nilai puasa yang benar-benar diredai Allah, sesaorang yang sedang mengerjakan puasa hendaklah selalu mendekati dirinya kepada Allah
Sesaorang yang sedang menjalankan ibadat puas dengan sebaik-baiknya adalah merupakan mereka yang mampu mengendalikan nafsu. Segalanya ini menjadi perisai bagi dirinya untuk menghadapi godaan dari berbagai sudut,
  • Jangan suka merendahkan dan melecehkan orang lain serta mengucapkan sesuatu yang sinis serta mengandungi ejekkan. Walau sehebat mana pun kita janganlah memandang rendah kepada orang yang mungkin tidak sebijak kita.
  • Jangan saling mencelah, menghasut dan mencerca, di kalangan masyarakat kita sekarang ada golongan yang merasa bangga dan amat suka mengaibkan orang yang tidak sekupu dan tidak disukainya, seolah-olah mereka melupakan ingatan Rasulullah saw dalam hadis baginda yang (mafhumnya): Barangsiapa yang menutup keaiban saudaranya dalam kehidupan di dunia ini, maka Allah akan menutup keaibannya dalam kehidupannya di akhirat.
  • Tidak juga dinafikan terdapat juga di kalangan bangsa kita kini (telah menjadi budaya ?) amat suka menggelarkan sesaorang yang tidak disukainya dengan gelaran yang menyakiti hati orang yang bersangkutan.
  • Puasa yang sempurna, yakni telah mencapai tingkat puasa yang sebenarnya berupaya mengubah kebiasaan-kebiasaan yang kurang baik dalam kehidupan sehariannya
  • berhati-hati dalam segala tindakan, terutama dalam pertuturan dari lidah yang tidak bertulang. Hindari dari kata-kata yang menyinggung perasaan orang lain, seperi menyindir, tahan hati supaya tidak berhasad dengki, apa lagi menuturkan kata-kata yang jijik didengar seperti berdusta, memfitnah, mengumpat, mencarut, mengadu-dumba dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw (mafhumnya): Tidak akan masuk syurga orang yang mengadu domba. - Riwayat Bohari dan Muslim.
  • Berpuaslah dengan ertikata sebenar-benarnya, jauhi perbuatan yang tidak baik. Berpuasa tidak hanya dari menahan makan minum semata-mata. Jika kita tidak dapat menghayati puasa seperti yang dituntut iaitu menahan diri dari segala godaan syaitan, membersihkan hati dengan dendam kesumat yang tidak berkesudahan, ia adalah amat merugikan kita, kerana puasa yang demikin sifatnya ini menjadi kesukaan syaitan kerana balasan yang mungkin diterima hanya lapar dan dahaga sahaja, sabda Rasulullah saw yang memberi erti: Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak beroleh apa-apa dari puasanya selain dari lapar dan dahaga, dan berapa orang yang bangun solat malam, tetapi tidak beroleh apa-apa dari solatnya selain hanya berjaga malam.
Jangan dipersia-siakan kurniaan Allah untuk mendapat pahala yang berganda-ganda seperti yang dijanjikanNya oleh sifat kita yang merugikan.
Jangan kita menjadi seorang yang 'ahmak'
Bagi kesempurnaan yang lebih bererti di sepanjang kita menjalankan ibadat berpuasa di bulan yang penuh dengan beberapa kelebihannya ini amatlah moleknya kita amalkan tuntutan-tuntutan dengan ibadat ini, iaitu:
  • Makan sahur - guna menguatkan diri menghadapi puasa, Rasulullah saw bersabda yang (maksudnya): makan sahur itu ada berkatnya, dan sabda baginda lagi. Bantulah puasamu di siang hari itu dengan makan sahur dan solat malam dengan tidur siang.
  • Berbukalah dengan tiga biji tamar dan minumlah segelas air dan dianjurkan pula waktu berbuka itu supaya memanjatkan doa, dengan ucapan : Ya Allah untuk Engkaulah kami berpuasa dan dengan rezeki yang Engkau berikan kami berbuka.
  • Makan secukupnya sahaja, kerana menurut Rasulullah saw: orang yang makan tiada hadnya adalah kebiasaan paling buruk dan sabda baginda lagi: Mengurangkan makan adalah sesuatu ubat yang paling mujarab.
  • Saling menghubungkan silatulrahim dan mengeratkan persaudaraan
  • Melakukan solat tarawieh
  • Mempelajari dan membaca Al quran dengan sebanyak-banyaknya
  • Memperbanyakkan sedekah dan
  • Adalah lebih baik diam dari memperkatakan sesuatu yang belum tentu sah kebenarannya.

Wednesday, July 22, 2009

SESAT

KENAPAKAH ajaran-ajaran sesat silih berganti munculnya di negara ini. Agama Islam yang suci murni telah diseleweng dengan dashyatnya mengikut citarasa sesaorang "pengembangnya"
segelintir orang Islam yang sangat tipis imannya, atau kefahaman agamanya cetek, amat mudah terpengaruh dan secara tidak sedar mudah terperangkap dan juga tidak keterlalauan jika dikategorikan sebenarnya mereka mulanya secara suka-suka atau terikut-ikut mendekati ajaran ini.
Secara tidak sedar, sedikit demi sedikit mereka telah terkeluar dari landasan aqidah yang sebenarnya, akhirnya mereka terus-menerus tersesat. Mereka tidak sedar mereka telah disesatkan oleh apa yang mereka panggil "tuan guru", "bapa" atau "ustaz" atau apa saja yang lunak bunyinya.
Walaupun perkara ini disedari oleh sesaorang "guru" bahawa ajarannya telah jauhan terpesong, tetapi demi memikirkan kepentingan atau keuntungan diri mereka, maka adalah lebih baik membiarkan pengikutnya terus tersesat. Sesaorang pengikut yang terlalu taksub kepada gurunya adalah lebih melampau atau ekstrim.
Seperti yang kita ketahui beberapa ajaran sesat yang akidahnya terang-terang menyeleweng sentiasa saja muncul dan timbul di sana sini. Ajaran tersebut berbeza antara satu dengan yang lain. Jika kita renungkan dengan fikiran yang waras nescaya dapatlah kita satu jawapan yang nyata, semua ajaran yang menyesatkan sahih terkeluar dan bertentangan dengan ajaran Islam yang suci. Ajaran-ajaran yang menyeleweng ini ternyata sekali memesongkan aqidah. Ajaran ini terbukti penuh dengan kepalsuan dan kebatilan.
Batil atau palsu adalah sesuatu yang salah tidak sah serta terkeluar dari garis kebenaran yang terlarang dan haram mengikut hukum agama. Ingatlah firman Allah yang mafhumnya, "Demikian pula bahaswa Allah itu benar dan sesungghunya apa yang mereka seru selain dari Allah itu palsu" - Al Haj ayat 62 dan Lokman ayat 30.
Yang nyata agama Islam itu adalah satu-saunya agama yang diredai Allah seperti mafhum firmanNya, "Sesungguhnya agama(yang diredai) di sisi Allah hanya agama Islam".
Sebagai contoh, pada lazimnya falsafah seni mempertahankan diri yang bersifat kebatinan tidak kira apa pun namanya, diwujudkan semata-mata untuk digunakan menjaga maruah dan mempertahankan diri, jauh sekali untuk mempamirkan kejaguhan, memperagakan kekuatan, apalagi untuk bergaduh, malah dilarang samasekali untuk berbangga dan takbur. Bukankah tujuan utamanya bagi mempamirkan sifat-sifat terpuji dan sebaliknya menghindarkan semua perkara keji.
Jika kita yang dewasa masih ingat peristiwa pada tahun 1980, bagaimana sekumpulan anjaran sesat telah menyerang Balai Polis Batu Pahat, Johor. Dalam tragedi berdarah itu lapan orang dari pengamal ajaran sesat dan empat orang anggota polias telah terkorban dengan sia-sia.
Pada tahun 1985 kita telah digemparkan dengan peristiwa "Mamali" yang mana seorang guru yang dikenali sebagai "Ibrahim Libya" telah mempengaruhi pengikut-pengikutnya menentang kerajaan.
Dan masih segar dalam ingatan kita pada bulan Julai 2000 kita juga amat terperanjat dengan peristewa Al Ma'unah yang diketuai oleh Mohd. Amin bin Razali. Kumpulan ini telah bertindak lebih ganas.
Dan yang paling menyedihkan kita bagaimana seorang yang kolot seperti "Ayah Pin" dapat menarik orang yang waras ke dalam ajaran sesatnya,
Sungguhpun peristiwa-peristiwa ngeri ini telah menjadi sejarah hitam kepada Negara, namun kita tetap mengigati dan mengutipnya untuk dijadikan pengajaran yang berguna. Begitu mudah mereka bertindak sebagai ketua, memperdaya dan memesongkan pengikut-pengikutnya yang bebal. Seharusnyalah kita mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang telah mencemarkan Negara dan kesucian agama Islam yang mulia ini.
Sesungguhnya kita berasa hairan, sejak akhir-akhir ini sebilangan daripada kita yang professional dan intelektual dengan tahap pendidikan yang tinggi dengan mudah dapat diperdaya oleh gulungan yang rendah tahap pelajaranya. Mereka seolah-olah tidak berdaya dan berkeupayaan untuk berfikir dengan rasional. Tidakkah mereka terfikir, wajarkah seorang penjenayah dan pembunuh mengajar sesuatu kepercayaan yang jelas karut serta merosakkan agama dipanggil ustaz. Adakah apabila seseorang itu telah berserban dan berjubah ianya sudah cukup layak untuk diberi gelaran "Ustaz" atau "Ulama" tidakkah gelaran ini cukup mulia disisi islam. Patutkah orang-orang seperti ini diagungkan?, hinggakan kata-kata serta tindak-tanduknya tidak perlu difikirkan benar salahnya?.
Akhirnya hayatilah hadis Rasulullah s.a.w yang mafhumnya, "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknat oleh Allah. " Para sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah apakah tujuh perkara itu? Rasulullah menjawab, Mensyirikan Allah iaitu menyengtukan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran, menfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasulnya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.
Kita semua perlu bertindak sebelum segalanya menjadi tidak terkawal. Kepada pengikut-pengikut yang telah tersalah langkah undurlah, jika telah terseset di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan penerima taubat.