Tuesday, December 8, 2009

10 ZULHIJJAH - PENYEMBELIHAN SUNAT SEMATA-MATA IBADAH KEPADA ALLAH

ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, Walillahilham.

Hari ini - 10 Zulhijjah merupakan salah satu hari kebesaran Islam. Hari ini kita mengagongkan Allah SWT dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya, kerana dengan limpah keagongan-Nya telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan negara kita. Dengan yang demikian kita dapat beramal, melaksanakan tugas hari ini dengan sempurna. Tidak ada amalan yang paling mulia pada hari raya qurban ini melainkan menumpahkan darah binatang ternakan kita iaitu berkorban dengan menyembelih haiwan seperti lembu atau kambing adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah untuk membantu fakir miskin dan menikmati daging qurban.

Pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidiladha ini adalah kesatuan umat Islam. Islam adalah umat yang satu, di mana saja umat Islam berada ia tetap umat yang satu, ia adalah umat yang bersama-sama mengikrarkan bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Mohammad saw itu adalah Rasulullah, ia adalah umat yang satu, menghadap satu kiblat, sujud kepada Tuhan yang satu Allah Rabulalamin, ialah yang satu yang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadat haji. Adakah umat yang lain di atas muka bumi ini yang mempunyai seperti Islam? Maka sudah sewajarnyalah kita melahirkan rasa syukuR kepada Allah SWT. Kita tidak mampu berpecah belah, kita tidak mampu membiarkan anasir-anasir taksub dan fanatik terhadap sesuatu fahaman puak atau kumpulan tertentu untuk memecah-belahkan kita, kita tidak mampu membiarkan apa-apa bisikkan di telinga kita bahawa fahaman kita yang baik, sedangkan fahaman sahabat seislam kita yang lain serba kekurangan. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat, lihatlah bagaimana Allah SWT mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu?. Hayatilah firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai dan berpecah belah- surah Ali Imran ayat 103.

Rasulullah saw pula berpesan dalam sabdanya yang mafhumnya Janganlah kamu berbalah, jangan kamu benci membenci dan jangan kamu belakang membelakangi dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang sentiasa berada di dalam persaudaraan dan tidak harus bagi seseorang muslim meninggalkan saudaranya tanpa memberi salam sesama mereka lebih daripada tiga hari -

Aidiladha juga dikaitkan dengan ibadat qurban yang telah pun dilaksanakan sejak sebelum Nabi Mohammad saw lagi. Sesungguhnya ibadat qurban bukan semata-mata kita menyembelih haiwan samada lembu atau kambing, tetapi falsafah pengorbanan yang terdapat dalam ibadat tersebut. Tiada kejayaan dapat ditempa tanpa pengorbanan. Rasulullah saw dan para sahabat telah memberikan kepada kita contoh pengorbanan yang sebenar, di mana mereka telah mengorbankan nyawa dan harta benda demi kejayaan Islam. Nabi Allah Ibrahim AS pula sanggup menyembelih Nabi Ismail putra kesayangannya semata-mata tunduk patuh kepada perintah Allah SWT. Contoh-contoh inilah yang seharusnya ada dalam sanubari setiap umat Islam samada dalam usaha melaksanakan ibadat ataupun dalam proses pembangunan negara dan ummah. Jika segala usaha kita dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, InsyaAllah, kejayaan bakal dinikmati dan tentulah umat Islam dan negara kita akan terbela.

Dalam kita merayakan Aidiladha ini marilah sama-sama kita mengeratkan tali silaturrahim dan kemesraan sesama umat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya. Mudah-mudahan Allah SWT akan menyatukan hati-hati kita dan nmenjauhkan kita daripada hasad dengki dan sifat keji yang membawa malapetaka, kekacauan dan perpecahan sesama kita. Hari ini kita telah melihat kehancuran dan kemusnahan sesebuah negara kerana perpecahan sesama umat Islam, perkara ini tentulah akan mendatangkan pelbagai masalah yang akhirnya akan menghancurkan negara tersebut. Iktibar inilah yang amat perlu kita renungi dan insafi. Marilah kita berusaha mengekalkan perpaduan sesama umat Islam bukan saja sewaktu menyambut hari-hari kebesaran Islam, tetapi setiap hari, masa dan ketika .

Akhirnya saya serta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat semoga Allah SWT menerima amal kita dan mudah-mudahan kita dikurniakan dengan keberkatan, Amin.

Allahhu akbar, Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Walilillahilham. Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
(petikan ucapan yang disampaikan kepada Jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah sempena menyambut Aidilada)

No comments:

Post a Comment