Wednesday, September 30, 2009

KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA

HATI ini tersentuh bila menatap berita bagaimana seorang ibu tentunya sudah lanjut usianya yang dihantar ke rumah orang-orang tua oleh anak kesayangannya. Si ibu meraung, merayu, memohon belas kasihan dengan penuh hiba minta agar dirinya jangan diperlakukan sedemikian.

Bagi mereka yang 'berhati', sitiwasi seperti ini sudah tentu amat menyayat hati dan jantung. Kenapakah tergamak si anak memperlakukan demikian kepada si ibu tua yang ingatannya tidak lain hanya ingin menghabiskan sisa-sias hidupnya bersama anak-anak dan cucu-cucunya, barangkali entah esok entah lusa ia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya, di mana hati dan perasaan anak-anak seperti ini. Tidakkah terfikir oleh si anak jika perbuatannya ini terjadi kepada dirinya sendiri, bagaimanakah perasaannya, kerana kita tidak tahu apakah yang akan terjadi pada masa mendatang, sesetengah manusia memang zalim atau mungkin tidak sedar diri dan terlupa bahawa Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Apakah perasaan kita sekiranya segala pengorbanan yang kita beri dipersiakan?, tidakkah kita merasa sedih, hampa dan kecewa, kerana itulah kita perlu melayan ibu bapa dengan sebaik-baiknyan, kerana pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang hakiki, bukan pengorbanan yang dipaksa-paksa, atau dilakukan dengan sambil lewa sahaja.

Cuba kita renungkan firman Allah dalam surah Al Isyrak ayat 23-24 yang (mafhumnya): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaiman mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku.

Oleh itu nyatalah tuntutan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah tuntutan yang wajib, ia adalah perintah Allah. Anak-anak yang melaksanakan akan mendapat ganjaran yang besar, tetapi sekiranya tuntutan ini ditinggalkan, mereka akan disiksa di akhirat kelak, apatah lagi jika mereka menyakiti hati keduanya.

Sebenarnya Islam itu sendiri menganjurkan umatnya supaya sentiasa merendah diri, terutama kepada kedua ibu bapa, sikap meninggikan diri adalah ditegah kerana ia boleh membawa kepada perpecahan dan kebinasaan. Bagitu juga dengan konteks bergaul dengan ibu bapa, kita dituntut merendah diri, tidak kira walau bagaimana besar jawatan disandang , walau sebanyak mana wang ringgit dan harta yang kita miliki, walau sebesar mana pengaruh dan kuasa yang ada di taggan kita, kita hendaklah merendah diri dan anggaplah mereka sebagai orang yang sewajarnya mendapat pembelaan dan disanjung sepanjang masa, tidak kira mereka masih hidup atau pun telah kembali ke alam baqa.

Terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menyuruh supaya melebihkan ibu daripada bapa, ini mungkin kerana ibu lebih banyak berkorban, bersusah payah, membesar serta mendidik anak-anak berbanding dengan bapa. Dalam sebuah hadis Rasulullah saw baginda melebihkan ibu tiga kali ganda dari bapa, sabda baginda (mafhumnya): Pada satu hari datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya, "Siapa yang lebih berhak mendapat perhatian yang lebih baik dari saya?, jawab baginda "Ibumu", dan dia bertanya lagi, selepas itu siapa?,,jawab baginda, "Ibumu" kemudian dia bertanya lagi, selepas itu siapa? jawab baginda lagi "Ibumu", dia bertanya lagi, kemudian itu siapa lagi, jawab baginda, "Bapamu".

Dan dalam hadis yang lain pula Rasulullah saw menjelaskan "Bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu".

Kepada mereka yang masih ada ayah dan ibu sayangilah mereka, berilah kasih sayang yang sewajarnya, agar kita tidak menyesal sepanjang hayat atas kesilapan dan tindakan kita semasa mereka masih hidup. KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA".

No comments:

Post a Comment