Friday, September 4, 2009

BACALAH AL QURAN

AL QURAN kitab suci yang menjadi panduan hidup dan matinya umat Islam. Dinamakan demikian (Quran) memberi pengertian bahawa Al Quran itu harus selalu dibaca dan diperhatikan isinya.

Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bahasa Arab. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang lengkap mengandungi segala hukum, petunjuk, pedoman, pelajaran, nasihat, cerita sejarah dan ilmu pengetahuan yang dapat memimpin manusia ke arah kebenaran, ketinggian dan kemuliaan dunia dan akhirat.

Al Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah, kandungannya mencakupi segala syariat yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya.

Surah yang mula-mula diturunkan ialah Al Alaq (segumpul darah) kerana pada bahagian awal surah ini Tuhan menegaskan bahawa: Ia mencipta manusia dari segumpul darah beku
Surah ini juga dikenali dengan nama surah "Iqrak" atau Al Qalam.

Pada peringkat awalnya hanya lima ayat dari surah ini yang di turunkan, surah ini membawa perintah dari Allah supaya membaca Al Quran. Memperingatkan dan memberi tahu bahawa manusia ini dijadikan dari darah beku. Allah jadikan qalam sebagai alat untuk mengmbangkan pengetahuan atau pelajaran.

Ianya diturunkan oleh Allah Taala kepada junjungan kita Muhammad saw dalm bulan Ramadan, pada malam kemuliaan (Lailatul-Qadar). Tarikh keramat itu ialah pada 17 Ramadan tatkala itu baginda Rasulullah saw berusia 41 tahun.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 185 (mfhumnya): Masa yang diwajibkan berpuasa itu pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia.

Dewasa itu baginda sedang beribadat di Gua Hirak, di negeri Makkah Al-Mukarramah. Al Quran merupakan sebesar-besar nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia seluruhnya.

Hanya dengan panduan Al Quran - 'Kalamullah' sahajalah umat manusia akan mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahgiaan yang kekal di akhirat.
Lima ayat yang awal diturunkan itu mengemukakan tiga perkara besar:
  • Allah Tuhan sekalian Alam yang Maha Esa dan Maha Berkuasa yang wajib diingati dan dipatuhi dalam segala keadaan
  • Manusia yang telah dicipta oleh Allah Taala adalah sebaik-baik kaadaan dan diberi berbagai keistimewaan berbanding dengan makhluk lain.
  • Nikmat ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Allah Taala kepada manusia melalui pena dan tulisan
Cara Al Quran diturunkan adalah dengan beransur-ansur selama 22 tahun dua bulan dan 22 hari, dengan perantaraan Malaikat Jibril yang datang secara berulang-alik sebanyak 2,000 kali.
Al Quran mengandungi 114 surah, surah-surah ini berlainan nama dan berbeza pula panjang pendeknya. Surah Al Baqarah adalah yang terpanjang sekali dengan mengandungi 286 ayat. Manakala surah Al Kausar mengandungi tiga ayat ialah yang terpendek.
Surah dan ayat ini dibahagikan kepada 30 juzuk (bahagian) juz pertama 'Alif Lam Mim' dan disudahi juz 'Ammayatasa.

Surah terakhir diturunkan ialah ayat ke tiga surah Al Maidah seperti firmannya (mafhumnya): Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu

Peristiwa ini terjadinya tanggal sembilan Zulhijjah tahun yang ke sepuluh Hijrah. Ketika itu baginda Rasulullah saw sedang mengerjakan haji widak (haji selamat tinggal).

Membaca Al Quran adalah amalan yang sangat mulia dan akan memperolehi pahala yang berlipat ganda kerana yang dibaca itu ialah kitab suci dari Allah.

Al Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin. baik di kala senang atau di kala susah, di kala gembira atau di kala duka.

Malah membaca Al Quran itu bukan saja menjadi amalan dan ibadat bahkan menjadi ubat bagi jiwa yang resah gelisah.Sabdar Rasulullah saw (mafhumnya): Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah ibadat, membaca Al Quran secara bergilir-gilir dan mengajarkan terhadap sesamanya (tadarus), akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpahlah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh Malaikat, juga Allah akan selalu mengingat mereka - Riwayat Muslim dari Abu Hurairah.

Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang membaca wahyu Allah ini. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran yang berganda-ganda. Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa, (maksudnya): Tiap-tiap orang yang membaca Al Quran dalam sembahyang akan mendapat pahala lima puluh kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya, membaca di luar sembahyang dengan berwuduk pahalanya dua puluh lima kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya. Membaca Al Quran di luar sembahyang dengan tidak berwuduk pahalanya sepuluh kebajikan bagi setiap huruf yang dibacanya.

Di dalam ajaran Islam, bukan hanya orang yang membaca Al Quran sahaja yang memperolehi pahala dan rahmat, tetapi mendengar bacaan Al Quran juga akan diberi pahala. Sesetengah ulama' berpendapat mendengar orang membaca Al Quran pahalanya sama banyak dengan orang yang membaca itu sendiri.

Malah memandang kepada ayat-ayat Al Quran juga diberi pahala oleh Allah.
Bagi ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka hingga pandai membaca Al Quran, di akhirat nanti akan diberikan satu mahkota dari dalam syurga.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Siti Aisah r.a. Rasulullah saw bersabda, (Mafhumnya): Orang yang membaca Al Quran dengan mahir kelak mendapat tempat dalam Syurga bersama-sama dengan Rasul-Rasul yang mulia. Dan bagi mereka yang membaca Al Quran tetapi tidak berapa mahir membacanya dengan terhenti-henti, terputus-putus dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia pun beroleh dua pahala.

Bagi mereka yang membaca Al Quran adalah disunatkan sujud apabila bacaannya sampai kepada ayat-ayat sejadah (ayat sujud). Sujud ini dinamakan sujud sejadah atau sujud tilawah.
Bagitu juga disunatkan sujud kepada orang yang mendengarnya apabila orang yang membaca itu sujud mereka yanag mendengar atau makmumnya hendaklah bersujud sama, jika yang membacanya tidak sujud yang mendengar tidaklah disunatkan sujud.

Bacalah Al Quran bila ada kelapangan atau bahagi-bahagikanlah masa untuknya, umpamanya beberapa hijab atau beberapa ayat selepas sembahyang, atau pada bila-bila masa yang terluang agar dapat di tamatkan (khatam).

Dalam hal mengkhatamkan bacaan Al Quran ini adalah mengikut kemampuan sesaorang ada yang mengkhatamkannya setiap minggu, setiap bulan, atau ada juga yang setahun sekali, malah ramai pula yang boleh khatam dalam sebulan Ramadan.

Namun Nabi saw menyarankan agar bacaan Al Quran dapat dikhatamkan setiap minggu, yakni dikhatamkan setiap malam Jumaat.

Tiada satu kebahgiaan dalam hati sesaorang Muslim, melainkan apabila dia dapat membaca Al Quran sampai khatam, apabila telah khatam itulah puncak segala kebahgiaan hatinya.
Apabila telah khatam bacalah doa memohon kepada Allah agar menjadikan Al Quran sebagai syafaat (perlindungan), apabila kita tidak lagi mendapat apa-apa perlindungan dan pertolongan dari yang lain-lain di Padang Mahsyar nanti.

Doa yang selalu dibaca ialah: (seperti yang terdapat dalam doa khatam Al Quran):
" Ya Allah terimalah doa dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat. Tunjuki dan bimbingilah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat Al Quran.

Ya Allah kasihanilah kami dengan bacaan Al Quran dan jadikannya sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari Al Quran dan ajarkanlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi Al Quran dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang dan jadikanlah AlQuran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai Tuhan yang memelihara sekalian alam.

Ya Allah hiasilah diri kami dengan keindahan Al Quran, muliakanlah kami dengan kemulian Al Quran dan serikanlah kami dengan ketinggian martabat Al Quran dan pakaikanlah kami dengan pakaian permata Al Quran. Masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan syafaat (pertolongan) Al Quran. Selamatkanlah kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan Al Quran.


Nota peringatan: Rasulullah saw bersabda mfhumnya: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.SELMAT MENYAMBUT NUZUL AL QURAN

1 comment:

  1. Salam dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat Saudara Abdullah Abdul Rahman @ Cahaya Andang sekeluarga dan kepada pembaca blog ini. Maaf Zahir Batin sekiranya terdapat apa jua keterlanjuran.
    Semoga semuanya diberkati Allah Taala.

    Yang Ikhlas
    Mat Amin
    KINI DAN SILAM http://matamin02.blogspot.com

    ReplyDelete