Friday, January 1, 2010

TAHUN 2010 - BERAPA TAHUNKAH USIA DUNIA KITA

TAHUN baru membuka tirainya lagi. Tahun Masihi yang dikira sejak lahirnya Nabi Isa itu telah berusia 2,009 tahun dan ia berjalan tanpa berhenti walau sesaat pun, tahun berganti tahun. Jika dikira sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Isa, telah beribu tahun pula telah ditinggalkan.

Alangkah pantas masa beredar, tahun 2009 rasanya masih baru kita masuki dan sekarang tiba-tiba saja tahun baru pula muncul. Tidak puas rasanya kita berada di dalam tahun 2009. Walau bagaimanapun masa tetap berlalu meninggalkan kita. Setahun yang kita tinggalkan terlalu singkat dan ia tidak akan pernah kembali. 365 hari yang kita tinggalkan memberi kita pahit dan manis, suka dan duka, tawa dan air mata. Semuga tahun baru yang kita sambut hari ini memberikan kita semangat baru dan azam yang baru. Hidup pasti diteruskan. Paling utama gunakan masa dengan sebijak-bijaknya. Masa yang ada jangan disia-siakan. Pepatah arab ada mengatakan (maksudnya): Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak menggunakan untuk memotong nescaya ia akan memotong kamu. Masa terasa terlalu pendek, saya yang telah bersara dari perkhidmatan kerajaan selama 15 tahun, rasanya baru setahun bersara . Pejam celik, pejam celik sudah 15 tahun (mungkin sebagai Pengerusi masjid saya amat sibuk dengan program silih berganti, baru sangat rasanya kursus Haji bersiri tahun lalu Pihak Tabung Haji telah memanggil mesyuarat untuk kursus haji tahun ini, selepasa itu akan menghadapi bulan puasa, aidil Fitri, Aidil Adha serta mengatur majlis korban, ini tidak termasuk dengan program-program kebesaran Islam yang lain sepanjang tahun seperti maulidul Rasul, Israk & Mikraj, Nuzul Al Quran serta lain-lain ceramah Agama). Ini tanda-tanda kiamat itu makin hampir. Kiamat pasti akan berlaku, kita diwajibkan mempercayainya, ia termasuk dalam rukun Iman yang enam. Allah menyakinkan manusia akan berlakunya kiamat. Dalam surah Al-Haj ayat 7, Allah berfirman (mafhumnya) Dan sesunguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tidak ada keraguan padanya dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang yang di dalam kubur

Selain dari pembuktian Al-Quran, ahli sains juga mempercayai akan berlakunya kiamat, mereka menyakini bahawa pada satu masa kelak bumi ini akan dimusnahkan oleh sebuah bintang berekor, apabila bintang itu beredar hampir dengan bumi, bintang tersebut dipercayai mempunyai daya tarikan yang kuat sebagaimana matahari. Oleh sebab itu apabila bintang itu menghampiri kawasan peredaran bumi, ia akan bertempur dengan bumi menyebabkan terjadinya gempa bumi yang amat dasyat sehingga memusnahkan dunia ini serta semua makhluk-makhlunya.

Sudah menjadi sunah Allah bahawa setiap kejadian pasti didahului dengan tanda-tanda, baik sekecil-kecil kejadian, apatah lagi kejadian yang besar seperti kiamat. Banyak sekali hadis-hadis Rasulullah saw yang menerangkan tanda-tanda atau alamat-alamat akan terjadinya kiamat, baik kiamat kecil atau kiamat besar. Antara alamat kiamat itu ialah:
  • Bertambah pendeknya masa
  • Banyak berlaku gerak gempa
  • Banyak berlaku pergaduhan dan peperangan
  • Timbul perang antara kaum Muslimin dan Yahudi
  • Kaum perempuan melebihi bilangan lelaki dan lain-lain
Alamat-alamat kiamat itu telah banyak kita saksikan sekarang. Semakin singkat kita rasakan masa itu berlalu, semakin dekatlah dunia pada penghujungnya. Masa yang semakin singkat itu hendaklah kita rebut sebaik-baiknya ke tahap paling maksimum. Kita diwajibkan berusaha selagi kita masih hidup. Andainya terdengar oleh kita hari kiamat sedang berlaku, padahal di tangan kita ada beneh yang hendak di tanam, kita di suruh terus menamnya.

Semuga 365 hari yang akan kita lalui tahun ini dimanfaatkan secukupnya, buangkan segala sifat keji dan diganti dengan sifat terpuji, hampri diri kepada Allah, tambahlah bekalan sebanyak mungkin yang bakal kita bawa pulang ke negeri yang kekal. Marilah kita jadikan ini sebagai azam yang utama dalam menempuh tahaun 2010

"SELAMAT MENYAMBUT TAHUN MISIHI 2010"

No comments:

Post a Comment