Tuesday, November 23, 2010

JANGAN BERCERAI - BERAI

kaum muslimin dan muslimat yang saya kasihi dan dirahmati Allah seklian.

pertama-tama sewajarnya ucapan kita ialah berbanyak-banyak puji dan syukur kehadarat Allah SWT kerana dengan keizinan dan inayahnya kita dapat sama-sama merayakan sambutan Aidiladha hari ini.

Dua bulan yang lepas kita merayakan aidilfitri iaitu hari kita merayakan kemenangan ke atas tuntutan nafsu, ia merupakan satu anugrah dari Allah SWT agar kita bergembira dan mengeratkan lagi silaturrahim. Hari ini kita dianugrahkan pula dengan hari raya Aidiladha. Kita disajikan lagi dengan hari kegembiraan dan hari mengingati Allah SWT, tentu ada masej dan pegajaran, antara pengajaran yng penting ialah sifat syukur atas nekmat Allah. Aidiladha pula mebawa bersamanya banyak masej dan pegajaran.

Pengajaran yang terpenting, yang terkandung dalam aidiladha ini adalah kesatuan, umat Islam tidak kira siapa dan di mana pun mereka berada adalah umat yang satu, ia adalah umat yang bersama-sama mengikrarkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad SAW adalah Rasulullah. Kita adalah umat yang bersatu, mengadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu Allah Rabbulalamin. Kita adalah umat yang satu yang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadat Haji. Adakah umat yang lain di atas muka bumi ini yang mempunyai syariat seperti Islam?.

Sebenarnya, kita tidak mampu lagi berpecah-belah, kita sewajarnya menghindarkan diri kita dari diperalat dengan tujuan memecah-belahkan kita. Anasir-anasir jahat ini suka melihat kita berpuak-puak dan berpecah denganya mudahlah mereka menikam kita dari belakang. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat. Lihatlah bagaimana Allah SWT mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat Haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama, tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam satu umat yang diwajibkan bersatu, Allah telah berfirman dalam surah AliImran -103 yang maksudnya Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai-berai).

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad saw ke dunia ini sebagai Rasul terakhir untuk membawa perubahan kepada seluruh umat manusia, baginda telah diperintahkan oleh Allah menyeru manusia supaya berakhlak mulia dan berubah dari gaya hidup yang tidak bertemadun kepada cara hidup yang diredzai oleh Allah, antarannya: bersatu-padu, hormat menghormati, berkasih sayang, toleransi iaitu bertolak ansur dan mengamalkan sikap bantu membantu serta tolong menolong, percakapan dan tindak tanduk yang boleh menyinggung perasaan orang lain perlulah dielakkan kerana ia boleh membawa kepada pertelingkaahan dan permusuhan sesama kita, jika kita tidak berhati-hati sudah pasti hubugan silaturrahim yang sedia terjalin akan menjadi kusut dan boleh mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

Oleh itu bersempena dengan semangat aidiladha dan perhimpunan haji di tanah suci, marilah kita mengambil iktibar dengan membetulkan diri dan masyarakat kita dengan mengokohkan perpaduan dan kekuatan umat seluruh dunia. Allah SWT menyatakan bahawa setiap orang beriman itu adalah bersaudara kepada orang Islam yang lain, tegasnya selama mana sesaorang individu itu melafaskan kalimah syahadah maka ia tetap saudara seagama, ini jelas apa yang diperintahkan oleh Allah seperti dalam firmannya, maksudnya: sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat - (Hujrat ayat 10).

Hari ini (aidiladha) kita mengaggongkan Allah SWT dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya, kerana dengan lempah keagongan-Nya telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan negara kita. Dengan yang demikian kita dapat beramal, melaksanakan tugas harian kita dengan tenang dan sempurna. OLeh itu tiada amalan yang paling mulia pada hari raya korban ini melainkan menumpahkan darah binatang ternakkan kita, iaitu berkorban dengan menyemelih haiwan - haiawan ternahkan kita, inilah lambang kesyukuran kita kepada Allah.

Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang melakukan pengorbanan, mereka sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran perasaan dan sebagainya, kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang mengolek, sebaliknya tanpa pengorbanan pelajar akan gagal, pentadbir akan kecewa, pemimpin akan bermusuhan, ulama' akan dicaci, masyarakat dan rumah tangga akan hancur, kampung halaman akan porak -peranda dan negara akan terus dijajah.

Di samping itu kita juga wajar bertanya, "Apakah pengorbanan kita kepada masyarakat dan negara? Apakah kita benar-benar menghargai mereka yang telah banyak berkorban untuk kita, adakah kemakmuran dan keamanan yang kita kecap kini datang tapa melalui pengorbanan manusia lain, dalam erti kata yang lain kita perlu belajar berkorban dan menghargai pengorbanan orang lain. Yang pasti kita jangan sekali-kali lupa pengorbanan ibu bapa terhadap kita.

sekian, hingga jumpa kembali.





Sunday, March 14, 2010

MAULIDUR RASUL - MENGHAYATI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW

KITA sekarang masih berada dalam bulan yang mulia iaitu bulan Rabiul Awal yang juga amat dikenali dengan sebutan bulan Maulud. Umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan upacara-upacara memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan bagi kita penganut Islam di Malaysia mengadakan majlis sambutan maulidur Rasul sudah menjadi satu kelaziman.

Antara tujuannya, selain dari memperingati hari ulang tahun keputeraan baginda Rasulullah SAW, sambutan bagini juga menarik perhatian umat Islam kepada memperingati ajaran-ajarannya yang telah berjaya menanam emaj Islam ke dalam masyarakat. Sebenarnya Islam bebangga dengnan kelahiran insan yang agong ini, yang membawa kebahgiaan dan rahmat kepada sekalian alam.

Cuba kita renung dan fikirkan, kita tidak boleh tidak akan berusaha untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran diri kita sendiri, hari lahir pasangan hidup kita, ahli keluarga kita, hari ulang tahun perkahwinan kita dan sebagainya, inikan pula melibatkan junjungan mulia, kekasih Allah yang membawa syariat di hari akhirat kelak. Mengapa kita tidak menyambutnya hari kelahiran baginda dengan penuh kegembiraan. Tidakkah kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar.

Perayaan Maulidur Rasul seperti yang kita sambut hari ini bukanlah satu kewajipan, tetapi ia tidak pula dilarang untuk membesarkannya, malah ia amat digalakkan. Dewasa ini terdapat banyak suara-suara yang mempertikaikan tentang sambutan Maulidur Rssul dan ia menjadi fokus perdebatan dan perbalahan walaupun sebenarnya banyak isu yang lebih penting yang perlu ditangani oleh umat Islam. Di masa ini musuh-musuh Islam sedang melakukan operasi besar-besaran untuk menghancurkan umat Muhammad. Pemimpin-pemimpin Islam yang bertelagah ini membuatkan kuasa besar tersenyum. Bahkan ada pemimpin negara Islam menjadi bonika kuasa besar dunia asalkan kedudukkan mereka selamat dan terjamin, kalaupun tidak tunduk kepada kuasa besar secara mutlak, sesetengahnya bertindak menjadi penyokong kuat kepada Barat.

Kita seharusnya sedar, serangan musuh bukanlah satu-satunya penyebab penderitaan umat Islam. Malah di kalangan kita sendiri bermusuh-musuhan. Merekalah yang menyebabkan permusuhan dan perpecaahan di kalangan umat Islam di seluruh dunia, selain mencari kesalahan saudara sendiri, mereka bekerja bertungkus lumus untuk meniupkan rasa syak wasangka kepada perkara-perkara yang mereka timbulkan agar ia menjadi satu kontrovasi.

Prinsip-prinsip asas agama Islam diputar-belitkan, cara dan pendekatan ibadat dipertikaikan dan diubah mengikut kamahuan dan tujuan tersendiri. Sekiranya perkara-perkara ini tidak disedari daan dihindar oleh masyarakat Islam maka perpaduan dan kesucian akidah Islam akan tergangu. Mereka pula dengan sewenangnya mengubah pendapat-pendapat ulama terdahulu yang selama lebih 1400 tahun dianggap sahih dan benar.

Membesarkan Maulidr Rasul, samalah umpama kita membesarkan Islam kerana Rasulullah SAW merupakan simbul bagi agama Islam itu sendiri. Hari kelahiran Nabi adalah hari dan saat yang mengembirakan bagi kaum Mukmin dan kita sepatutnya memperingati dan merayakan hari yang sungguh bersejarah dalam Islam itu. Itulah tandanya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah mengutuskan kepada kita seorang pesurunya yang agong.

Di sini jelaslah kepada kita, Rasulullah SAW adalah pemimpin agong dunia, menjadi kewajiban kepada kita yang cintakan agama ini untuk mengambil pengajaran dengan menghayati kepimpinan yang ada pada diri Rasulullah SAW, melalui contoh-contoh dan tauladan yang telah di sampaikan.
(petikkan sebahagian ucapan saya yang di sampaikan pada hari sambutan Malidur Rasul peringakat Parlimen Setiawangsa anjuran "Majlis Permuafakatan Masjid & Surau Parlimen Setiawangsa" pada Sabtu 13/3/2010 bersamaan pada 27 R'Awal 1431).

Friday, January 1, 2010

TAHUN 2010 - BERAPA TAHUNKAH USIA DUNIA KITA

TAHUN baru membuka tirainya lagi. Tahun Masihi yang dikira sejak lahirnya Nabi Isa itu telah berusia 2,009 tahun dan ia berjalan tanpa berhenti walau sesaat pun, tahun berganti tahun. Jika dikira sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Isa, telah beribu tahun pula telah ditinggalkan.

Alangkah pantas masa beredar, tahun 2009 rasanya masih baru kita masuki dan sekarang tiba-tiba saja tahun baru pula muncul. Tidak puas rasanya kita berada di dalam tahun 2009. Walau bagaimanapun masa tetap berlalu meninggalkan kita. Setahun yang kita tinggalkan terlalu singkat dan ia tidak akan pernah kembali. 365 hari yang kita tinggalkan memberi kita pahit dan manis, suka dan duka, tawa dan air mata. Semuga tahun baru yang kita sambut hari ini memberikan kita semangat baru dan azam yang baru. Hidup pasti diteruskan. Paling utama gunakan masa dengan sebijak-bijaknya. Masa yang ada jangan disia-siakan. Pepatah arab ada mengatakan (maksudnya): Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak menggunakan untuk memotong nescaya ia akan memotong kamu. Masa terasa terlalu pendek, saya yang telah bersara dari perkhidmatan kerajaan selama 15 tahun, rasanya baru setahun bersara . Pejam celik, pejam celik sudah 15 tahun (mungkin sebagai Pengerusi masjid saya amat sibuk dengan program silih berganti, baru sangat rasanya kursus Haji bersiri tahun lalu Pihak Tabung Haji telah memanggil mesyuarat untuk kursus haji tahun ini, selepasa itu akan menghadapi bulan puasa, aidil Fitri, Aidil Adha serta mengatur majlis korban, ini tidak termasuk dengan program-program kebesaran Islam yang lain sepanjang tahun seperti maulidul Rasul, Israk & Mikraj, Nuzul Al Quran serta lain-lain ceramah Agama). Ini tanda-tanda kiamat itu makin hampir. Kiamat pasti akan berlaku, kita diwajibkan mempercayainya, ia termasuk dalam rukun Iman yang enam. Allah menyakinkan manusia akan berlakunya kiamat. Dalam surah Al-Haj ayat 7, Allah berfirman (mafhumnya) Dan sesunguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tidak ada keraguan padanya dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang yang di dalam kubur

Selain dari pembuktian Al-Quran, ahli sains juga mempercayai akan berlakunya kiamat, mereka menyakini bahawa pada satu masa kelak bumi ini akan dimusnahkan oleh sebuah bintang berekor, apabila bintang itu beredar hampir dengan bumi, bintang tersebut dipercayai mempunyai daya tarikan yang kuat sebagaimana matahari. Oleh sebab itu apabila bintang itu menghampiri kawasan peredaran bumi, ia akan bertempur dengan bumi menyebabkan terjadinya gempa bumi yang amat dasyat sehingga memusnahkan dunia ini serta semua makhluk-makhlunya.

Sudah menjadi sunah Allah bahawa setiap kejadian pasti didahului dengan tanda-tanda, baik sekecil-kecil kejadian, apatah lagi kejadian yang besar seperti kiamat. Banyak sekali hadis-hadis Rasulullah saw yang menerangkan tanda-tanda atau alamat-alamat akan terjadinya kiamat, baik kiamat kecil atau kiamat besar. Antara alamat kiamat itu ialah:
  • Bertambah pendeknya masa
  • Banyak berlaku gerak gempa
  • Banyak berlaku pergaduhan dan peperangan
  • Timbul perang antara kaum Muslimin dan Yahudi
  • Kaum perempuan melebihi bilangan lelaki dan lain-lain
Alamat-alamat kiamat itu telah banyak kita saksikan sekarang. Semakin singkat kita rasakan masa itu berlalu, semakin dekatlah dunia pada penghujungnya. Masa yang semakin singkat itu hendaklah kita rebut sebaik-baiknya ke tahap paling maksimum. Kita diwajibkan berusaha selagi kita masih hidup. Andainya terdengar oleh kita hari kiamat sedang berlaku, padahal di tangan kita ada beneh yang hendak di tanam, kita di suruh terus menamnya.

Semuga 365 hari yang akan kita lalui tahun ini dimanfaatkan secukupnya, buangkan segala sifat keji dan diganti dengan sifat terpuji, hampri diri kepada Allah, tambahlah bekalan sebanyak mungkin yang bakal kita bawa pulang ke negeri yang kekal. Marilah kita jadikan ini sebagai azam yang utama dalam menempuh tahaun 2010

"SELAMAT MENYAMBUT TAHUN MISIHI 2010"

Friday, December 18, 2009

MAAL HIJRAH, PENGAJARAAN DAN IKTIBARNYA

MAAL HIJRAH, sejarah Agong yang semestinya diingati oleh semua penganut Islam di dunia ini.

Walaupun jarak masa hijrah masa yang dilalui oleh Rasulullah saw hingga ke saat ini telah melebihi 15 abad, namun nilai-nilai yang terkandung di dalamnya tetap utuh dan teguh, diingati oleh semua orang Islam sehingga mampu menjadi modal untuk membina kekuatan akidah.
Kita semua maklum "Tahun Hijrah" tahun bagi kalendar orang Islam (yang dikira dari penghijrahan Nabi kita Mohammad saw dari Makkah ke Madinah). Dalam satu cerita yang sah bahawa Nabi Mohammad saw telah mula mengunakan tarikh Hijrah ini dalam surat-surat baginda. Dalam surat perjanjian baginda dengan orang Nasara Najran baginda memerintahkan Saiydina Ali supaya menulis di bawah perjanjian itu menyebutkan tarikh tahun ke lima Hijrah.

Kita sekarang sewajarnya menghayati roh Hijrah ini agar ia terlaksana dalam masyarakat kita. Pada hari ini, kita sebenarnya amat sedar bahawa masyarakat sekarang berbeza dari masyarakat dahulu, lebih-lebih lagi dalam permasalahan dalam kehidupan dunia yang serba serbinya dikatakan moden. Kita sekarang hidup dalam dunia yang sangat mencabar, kerana pengaruh kebendaan telah mengatasi segala-galanya, manakala penghayatan nilai-nilai yang mulia mungkin tersasar dalam kehidupan kita.

Walaubagaimana pun, bagi umat Islam khasnya di negara kita, setiap kali kedatangan tahun baru Hijrah, ia disambut dengan pelbagai pengisian, ia menjadi satu kemastian bagi memperingati tahun yang amat bersejarah kepada umat Islam ini, tetapi yang pentingnya kita jangan lupa mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya.

Jadikanlah perayaan dan sambutan tahun baru Hijrah ini menuju kesejahteraan serta memahami erti Hijrah itu sebenarnya. Khasnya kepada generasi muda hari ini disarankan supaya mampu memantapkan diri mereka dengan kekuatan akidah, kekuatan ilmu dan teknologi serta kekuatan organisasi diri dari unsur-unsur negatif, penyelewengan serta was-was, jadikan diri kita orang yang berilmu pengetahuan sebagai bekalan penyuluh hidup hari ini dan masa-masa akan datang.

Hijrah sebenarnya kesabaran, lihatlah bagaimana kesabaran para sahabat menempuh halangan dalam berhijrah. Abu Bakar bersabar menahan kesakitan dipatuk ular, Abdul Rahman Auf meninggalkan harta kekayaan di Makkah dan sebahagian yang lain bersabar menempuh berbagai bentuk kepayahan bagi tujuan berhijrah, oleh itu kita hendaklah sentiasa mempertingkatkan kesabaran kerana ia adalah senjata utama melawan segenap halangan yang bakal mendatang. Kesabaran dalam melaksanakan segala suruhan Allah dan juga kesabaran untuk terus beristikomah ke arah matlamat yang dicita-citakan.

Marilah kita renung akan akan firman Allah dalam surah at-taubat ayat 20-21 yang mafhumnya: Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah degan harta dan jiwa mereka, mereka lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang menang. Allah telah memberi khabar gembira kepada mereka dengan rahmat dan keredhaan-Nya serta syurga di mana di dalamnya nikmat-nikmat yang tetap.

Selamat menyambut Maal Hijrah - Hijratul Qalbiah (perpindahan hati) dan Hijratul Badaniah (Perpindahan diri)

Tuesday, December 8, 2009

10 ZULHIJJAH - PENYEMBELIHAN SUNAT SEMATA-MATA IBADAH KEPADA ALLAH

ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, Walillahilham.

Hari ini - 10 Zulhijjah merupakan salah satu hari kebesaran Islam. Hari ini kita mengagongkan Allah SWT dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya, kerana dengan limpah keagongan-Nya telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan negara kita. Dengan yang demikian kita dapat beramal, melaksanakan tugas hari ini dengan sempurna. Tidak ada amalan yang paling mulia pada hari raya qurban ini melainkan menumpahkan darah binatang ternakan kita iaitu berkorban dengan menyembelih haiwan seperti lembu atau kambing adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah untuk membantu fakir miskin dan menikmati daging qurban.

Pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidiladha ini adalah kesatuan umat Islam. Islam adalah umat yang satu, di mana saja umat Islam berada ia tetap umat yang satu, ia adalah umat yang bersama-sama mengikrarkan bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Mohammad saw itu adalah Rasulullah, ia adalah umat yang satu, menghadap satu kiblat, sujud kepada Tuhan yang satu Allah Rabulalamin, ialah yang satu yang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadat haji. Adakah umat yang lain di atas muka bumi ini yang mempunyai seperti Islam? Maka sudah sewajarnyalah kita melahirkan rasa syukuR kepada Allah SWT. Kita tidak mampu berpecah belah, kita tidak mampu membiarkan anasir-anasir taksub dan fanatik terhadap sesuatu fahaman puak atau kumpulan tertentu untuk memecah-belahkan kita, kita tidak mampu membiarkan apa-apa bisikkan di telinga kita bahawa fahaman kita yang baik, sedangkan fahaman sahabat seislam kita yang lain serba kekurangan. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat, lihatlah bagaimana Allah SWT mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu?. Hayatilah firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai dan berpecah belah- surah Ali Imran ayat 103.

Rasulullah saw pula berpesan dalam sabdanya yang mafhumnya Janganlah kamu berbalah, jangan kamu benci membenci dan jangan kamu belakang membelakangi dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang sentiasa berada di dalam persaudaraan dan tidak harus bagi seseorang muslim meninggalkan saudaranya tanpa memberi salam sesama mereka lebih daripada tiga hari -

Aidiladha juga dikaitkan dengan ibadat qurban yang telah pun dilaksanakan sejak sebelum Nabi Mohammad saw lagi. Sesungguhnya ibadat qurban bukan semata-mata kita menyembelih haiwan samada lembu atau kambing, tetapi falsafah pengorbanan yang terdapat dalam ibadat tersebut. Tiada kejayaan dapat ditempa tanpa pengorbanan. Rasulullah saw dan para sahabat telah memberikan kepada kita contoh pengorbanan yang sebenar, di mana mereka telah mengorbankan nyawa dan harta benda demi kejayaan Islam. Nabi Allah Ibrahim AS pula sanggup menyembelih Nabi Ismail putra kesayangannya semata-mata tunduk patuh kepada perintah Allah SWT. Contoh-contoh inilah yang seharusnya ada dalam sanubari setiap umat Islam samada dalam usaha melaksanakan ibadat ataupun dalam proses pembangunan negara dan ummah. Jika segala usaha kita dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, InsyaAllah, kejayaan bakal dinikmati dan tentulah umat Islam dan negara kita akan terbela.

Dalam kita merayakan Aidiladha ini marilah sama-sama kita mengeratkan tali silaturrahim dan kemesraan sesama umat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya. Mudah-mudahan Allah SWT akan menyatukan hati-hati kita dan nmenjauhkan kita daripada hasad dengki dan sifat keji yang membawa malapetaka, kekacauan dan perpecahan sesama kita. Hari ini kita telah melihat kehancuran dan kemusnahan sesebuah negara kerana perpecahan sesama umat Islam, perkara ini tentulah akan mendatangkan pelbagai masalah yang akhirnya akan menghancurkan negara tersebut. Iktibar inilah yang amat perlu kita renungi dan insafi. Marilah kita berusaha mengekalkan perpaduan sesama umat Islam bukan saja sewaktu menyambut hari-hari kebesaran Islam, tetapi setiap hari, masa dan ketika .

Akhirnya saya serta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat semoga Allah SWT menerima amal kita dan mudah-mudahan kita dikurniakan dengan keberkatan, Amin.

Allahhu akbar, Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Walilillahilham. Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
(petikan ucapan yang disampaikan kepada Jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah sempena menyambut Aidilada)

Monday, October 26, 2009

KORBAN - MENDEKATI DIRI KEPADA ALLAH

Dato'-Dato', tuan-tuan yang berbahgia dan di rahmati Allah sekalian,
Tidak beberapa hari lagi kita akan sampai kepada satu lagi hari kebesaran Islam. Kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha insyaAllah pada hari Jumaat 27/11/2009 yakni lebih kurang sebulan lagi dari sekarang.

Kepada Muslimin muslimat yang ingin menyertai dalam ibadat korban di Masjid ini jangan dilepaskan peluang ini untuk bersama-sama dalam ibadat ini. Korban atau akikah adalah ibadat sunat bagi setiap umat Islam yang mampu, manfaatnya cukup banyak, baik kebaikan di dunia mahupun akhirat.

Ulama Islam bersepakat bahawa hukum korban ialah sunat muakat, sunat yang hampir kepada wajib, ini berasaskan kepada dari beberapa sumber dari Al Quran dan hadis, antaranya firman Allah dalam surah Al-Kausar ayat satu dan dua yang memberi maksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Jadi nyatalah bahawa ibadat korban di lakukan semata-mata untuk mendekati diri kepada Allah SWT melalui penyembelihan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, kerbau, biri-biri dan kibas. Penyembelihan ini hanya boleh dilakukan pada hari raya Adha atau pada hari tasyrik berikutnya. Waktu penyembelihan haiwan korban ialah sejak khatib turun dari atas member setelah selesai berkhutubah solat Aidiladha hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Dapatlah kita fahami waktu penyembelihan binatang korban hanya empat hari dalam setahun.

Korban boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang cukup syaratnya, samada yang sedaang melakukan ibadat haji di Makkah atau di mana sahaja ia berada.

Di samping itu Rasulullah saw pernah memberi amaran atau ingatan kepada orang-orang yang berkemampuan untuk berkorban, tetapi enggan melakukannya, amaran seperti ini dapat difahami dari sepotong hadis Rasulullah saw yanng bermaksud: "Barangsiapa yang ada kemampuan tetapi ia tidak berkorban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami".

Ketika penyembelihan korban ada beberapa sunat-sunat patut diketahui, antaranya:

  • Didahului membaca "Bismillahhir Rahmanir Rahim
  • Sesudah membaca Bismillah, hendaklah bertakbir tiga kali
  • Selawat dan salam kepada Nabi
  • Menghadap kiblat dan
  • membaca doa supya korban itu diterima oleh Allah seperti maksudnya: "Oh Tuhan, nikmat ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, maka terimalah daripadaku".
"SELAMAT MENJALANKAN IBADAT KORBAN - BERSAMA MENEGAKKAN SYI'AR ISLAM"

Ikhlas dari:

(Hj. Abdullah Hj. Abd. Rahman)
Pengerusi
Masjid Abu uabidah Al Jarrah

(surat siaran kepada anak kariah dan kepada Pengerusi-Pengerusi Surau di bahwah kariah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai sempena Aidiladha 1430 H)

Wednesday, September 30, 2009

KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA

HATI ini tersentuh bila menatap berita bagaimana seorang ibu tentunya sudah lanjut usianya yang dihantar ke rumah orang-orang tua oleh anak kesayangannya. Si ibu meraung, merayu, memohon belas kasihan dengan penuh hiba minta agar dirinya jangan diperlakukan sedemikian.

Bagi mereka yang 'berhati', sitiwasi seperti ini sudah tentu amat menyayat hati dan jantung. Kenapakah tergamak si anak memperlakukan demikian kepada si ibu tua yang ingatannya tidak lain hanya ingin menghabiskan sisa-sias hidupnya bersama anak-anak dan cucu-cucunya, barangkali entah esok entah lusa ia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya, di mana hati dan perasaan anak-anak seperti ini. Tidakkah terfikir oleh si anak jika perbuatannya ini terjadi kepada dirinya sendiri, bagaimanakah perasaannya, kerana kita tidak tahu apakah yang akan terjadi pada masa mendatang, sesetengah manusia memang zalim atau mungkin tidak sedar diri dan terlupa bahawa Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Apakah perasaan kita sekiranya segala pengorbanan yang kita beri dipersiakan?, tidakkah kita merasa sedih, hampa dan kecewa, kerana itulah kita perlu melayan ibu bapa dengan sebaik-baiknyan, kerana pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang hakiki, bukan pengorbanan yang dipaksa-paksa, atau dilakukan dengan sambil lewa sahaja.

Cuba kita renungkan firman Allah dalam surah Al Isyrak ayat 23-24 yang (mafhumnya): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaiman mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku.

Oleh itu nyatalah tuntutan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah tuntutan yang wajib, ia adalah perintah Allah. Anak-anak yang melaksanakan akan mendapat ganjaran yang besar, tetapi sekiranya tuntutan ini ditinggalkan, mereka akan disiksa di akhirat kelak, apatah lagi jika mereka menyakiti hati keduanya.

Sebenarnya Islam itu sendiri menganjurkan umatnya supaya sentiasa merendah diri, terutama kepada kedua ibu bapa, sikap meninggikan diri adalah ditegah kerana ia boleh membawa kepada perpecahan dan kebinasaan. Bagitu juga dengan konteks bergaul dengan ibu bapa, kita dituntut merendah diri, tidak kira walau bagaimana besar jawatan disandang , walau sebanyak mana wang ringgit dan harta yang kita miliki, walau sebesar mana pengaruh dan kuasa yang ada di taggan kita, kita hendaklah merendah diri dan anggaplah mereka sebagai orang yang sewajarnya mendapat pembelaan dan disanjung sepanjang masa, tidak kira mereka masih hidup atau pun telah kembali ke alam baqa.

Terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menyuruh supaya melebihkan ibu daripada bapa, ini mungkin kerana ibu lebih banyak berkorban, bersusah payah, membesar serta mendidik anak-anak berbanding dengan bapa. Dalam sebuah hadis Rasulullah saw baginda melebihkan ibu tiga kali ganda dari bapa, sabda baginda (mafhumnya): Pada satu hari datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya, "Siapa yang lebih berhak mendapat perhatian yang lebih baik dari saya?, jawab baginda "Ibumu", dan dia bertanya lagi, selepas itu siapa?,,jawab baginda, "Ibumu" kemudian dia bertanya lagi, selepas itu siapa? jawab baginda lagi "Ibumu", dia bertanya lagi, kemudian itu siapa lagi, jawab baginda, "Bapamu".

Dan dalam hadis yang lain pula Rasulullah saw menjelaskan "Bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu".

Kepada mereka yang masih ada ayah dan ibu sayangilah mereka, berilah kasih sayang yang sewajarnya, agar kita tidak menyesal sepanjang hayat atas kesilapan dan tindakan kita semasa mereka masih hidup. KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA".