Friday, December 18, 2009

MAAL HIJRAH, PENGAJARAAN DAN IKTIBARNYA

MAAL HIJRAH, sejarah Agong yang semestinya diingati oleh semua penganut Islam di dunia ini.

Walaupun jarak masa hijrah masa yang dilalui oleh Rasulullah saw hingga ke saat ini telah melebihi 15 abad, namun nilai-nilai yang terkandung di dalamnya tetap utuh dan teguh, diingati oleh semua orang Islam sehingga mampu menjadi modal untuk membina kekuatan akidah.
Kita semua maklum "Tahun Hijrah" tahun bagi kalendar orang Islam (yang dikira dari penghijrahan Nabi kita Mohammad saw dari Makkah ke Madinah). Dalam satu cerita yang sah bahawa Nabi Mohammad saw telah mula mengunakan tarikh Hijrah ini dalam surat-surat baginda. Dalam surat perjanjian baginda dengan orang Nasara Najran baginda memerintahkan Saiydina Ali supaya menulis di bawah perjanjian itu menyebutkan tarikh tahun ke lima Hijrah.

Kita sekarang sewajarnya menghayati roh Hijrah ini agar ia terlaksana dalam masyarakat kita. Pada hari ini, kita sebenarnya amat sedar bahawa masyarakat sekarang berbeza dari masyarakat dahulu, lebih-lebih lagi dalam permasalahan dalam kehidupan dunia yang serba serbinya dikatakan moden. Kita sekarang hidup dalam dunia yang sangat mencabar, kerana pengaruh kebendaan telah mengatasi segala-galanya, manakala penghayatan nilai-nilai yang mulia mungkin tersasar dalam kehidupan kita.

Walaubagaimana pun, bagi umat Islam khasnya di negara kita, setiap kali kedatangan tahun baru Hijrah, ia disambut dengan pelbagai pengisian, ia menjadi satu kemastian bagi memperingati tahun yang amat bersejarah kepada umat Islam ini, tetapi yang pentingnya kita jangan lupa mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya.

Jadikanlah perayaan dan sambutan tahun baru Hijrah ini menuju kesejahteraan serta memahami erti Hijrah itu sebenarnya. Khasnya kepada generasi muda hari ini disarankan supaya mampu memantapkan diri mereka dengan kekuatan akidah, kekuatan ilmu dan teknologi serta kekuatan organisasi diri dari unsur-unsur negatif, penyelewengan serta was-was, jadikan diri kita orang yang berilmu pengetahuan sebagai bekalan penyuluh hidup hari ini dan masa-masa akan datang.

Hijrah sebenarnya kesabaran, lihatlah bagaimana kesabaran para sahabat menempuh halangan dalam berhijrah. Abu Bakar bersabar menahan kesakitan dipatuk ular, Abdul Rahman Auf meninggalkan harta kekayaan di Makkah dan sebahagian yang lain bersabar menempuh berbagai bentuk kepayahan bagi tujuan berhijrah, oleh itu kita hendaklah sentiasa mempertingkatkan kesabaran kerana ia adalah senjata utama melawan segenap halangan yang bakal mendatang. Kesabaran dalam melaksanakan segala suruhan Allah dan juga kesabaran untuk terus beristikomah ke arah matlamat yang dicita-citakan.

Marilah kita renung akan akan firman Allah dalam surah at-taubat ayat 20-21 yang mafhumnya: Mereka yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah degan harta dan jiwa mereka, mereka lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang menang. Allah telah memberi khabar gembira kepada mereka dengan rahmat dan keredhaan-Nya serta syurga di mana di dalamnya nikmat-nikmat yang tetap.

Selamat menyambut Maal Hijrah - Hijratul Qalbiah (perpindahan hati) dan Hijratul Badaniah (Perpindahan diri)

Tuesday, December 8, 2009

10 ZULHIJJAH - PENYEMBELIHAN SUNAT SEMATA-MATA IBADAH KEPADA ALLAH

ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, ALLAHHU AKHBAR, Walillahilham.

Hari ini - 10 Zulhijjah merupakan salah satu hari kebesaran Islam. Hari ini kita mengagongkan Allah SWT dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil sebagai bukti kesyukuran kita kepada-Nya, kerana dengan limpah keagongan-Nya telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan negara kita. Dengan yang demikian kita dapat beramal, melaksanakan tugas hari ini dengan sempurna. Tidak ada amalan yang paling mulia pada hari raya qurban ini melainkan menumpahkan darah binatang ternakan kita iaitu berkorban dengan menyembelih haiwan seperti lembu atau kambing adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah untuk membantu fakir miskin dan menikmati daging qurban.

Pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidiladha ini adalah kesatuan umat Islam. Islam adalah umat yang satu, di mana saja umat Islam berada ia tetap umat yang satu, ia adalah umat yang bersama-sama mengikrarkan bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan Mohammad saw itu adalah Rasulullah, ia adalah umat yang satu, menghadap satu kiblat, sujud kepada Tuhan yang satu Allah Rabulalamin, ialah yang satu yang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadat haji. Adakah umat yang lain di atas muka bumi ini yang mempunyai seperti Islam? Maka sudah sewajarnyalah kita melahirkan rasa syukuR kepada Allah SWT. Kita tidak mampu berpecah belah, kita tidak mampu membiarkan anasir-anasir taksub dan fanatik terhadap sesuatu fahaman puak atau kumpulan tertentu untuk memecah-belahkan kita, kita tidak mampu membiarkan apa-apa bisikkan di telinga kita bahawa fahaman kita yang baik, sedangkan fahaman sahabat seislam kita yang lain serba kekurangan. Kita perlu bersatu untuk menjadi kuat, lihatlah bagaimana Allah SWT mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu?. Hayatilah firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai dan berpecah belah- surah Ali Imran ayat 103.

Rasulullah saw pula berpesan dalam sabdanya yang mafhumnya Janganlah kamu berbalah, jangan kamu benci membenci dan jangan kamu belakang membelakangi dan jadilah kamu sebagai hamba Allah yang sentiasa berada di dalam persaudaraan dan tidak harus bagi seseorang muslim meninggalkan saudaranya tanpa memberi salam sesama mereka lebih daripada tiga hari -

Aidiladha juga dikaitkan dengan ibadat qurban yang telah pun dilaksanakan sejak sebelum Nabi Mohammad saw lagi. Sesungguhnya ibadat qurban bukan semata-mata kita menyembelih haiwan samada lembu atau kambing, tetapi falsafah pengorbanan yang terdapat dalam ibadat tersebut. Tiada kejayaan dapat ditempa tanpa pengorbanan. Rasulullah saw dan para sahabat telah memberikan kepada kita contoh pengorbanan yang sebenar, di mana mereka telah mengorbankan nyawa dan harta benda demi kejayaan Islam. Nabi Allah Ibrahim AS pula sanggup menyembelih Nabi Ismail putra kesayangannya semata-mata tunduk patuh kepada perintah Allah SWT. Contoh-contoh inilah yang seharusnya ada dalam sanubari setiap umat Islam samada dalam usaha melaksanakan ibadat ataupun dalam proses pembangunan negara dan ummah. Jika segala usaha kita dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, InsyaAllah, kejayaan bakal dinikmati dan tentulah umat Islam dan negara kita akan terbela.

Dalam kita merayakan Aidiladha ini marilah sama-sama kita mengeratkan tali silaturrahim dan kemesraan sesama umat Islam khususnya dan masyarakat lain amnya. Mudah-mudahan Allah SWT akan menyatukan hati-hati kita dan nmenjauhkan kita daripada hasad dengki dan sifat keji yang membawa malapetaka, kekacauan dan perpecahan sesama kita. Hari ini kita telah melihat kehancuran dan kemusnahan sesebuah negara kerana perpecahan sesama umat Islam, perkara ini tentulah akan mendatangkan pelbagai masalah yang akhirnya akan menghancurkan negara tersebut. Iktibar inilah yang amat perlu kita renungi dan insafi. Marilah kita berusaha mengekalkan perpaduan sesama umat Islam bukan saja sewaktu menyambut hari-hari kebesaran Islam, tetapi setiap hari, masa dan ketika .

Akhirnya saya serta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat semoga Allah SWT menerima amal kita dan mudah-mudahan kita dikurniakan dengan keberkatan, Amin.

Allahhu akbar, Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Walilillahilham. Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
(petikan ucapan yang disampaikan kepada Jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah sempena menyambut Aidilada)

Monday, October 26, 2009

KORBAN - MENDEKATI DIRI KEPADA ALLAH

Dato'-Dato', tuan-tuan yang berbahgia dan di rahmati Allah sekalian,
Tidak beberapa hari lagi kita akan sampai kepada satu lagi hari kebesaran Islam. Kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha insyaAllah pada hari Jumaat 27/11/2009 yakni lebih kurang sebulan lagi dari sekarang.

Kepada Muslimin muslimat yang ingin menyertai dalam ibadat korban di Masjid ini jangan dilepaskan peluang ini untuk bersama-sama dalam ibadat ini. Korban atau akikah adalah ibadat sunat bagi setiap umat Islam yang mampu, manfaatnya cukup banyak, baik kebaikan di dunia mahupun akhirat.

Ulama Islam bersepakat bahawa hukum korban ialah sunat muakat, sunat yang hampir kepada wajib, ini berasaskan kepada dari beberapa sumber dari Al Quran dan hadis, antaranya firman Allah dalam surah Al-Kausar ayat satu dan dua yang memberi maksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Jadi nyatalah bahawa ibadat korban di lakukan semata-mata untuk mendekati diri kepada Allah SWT melalui penyembelihan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, kerbau, biri-biri dan kibas. Penyembelihan ini hanya boleh dilakukan pada hari raya Adha atau pada hari tasyrik berikutnya. Waktu penyembelihan haiwan korban ialah sejak khatib turun dari atas member setelah selesai berkhutubah solat Aidiladha hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Dapatlah kita fahami waktu penyembelihan binatang korban hanya empat hari dalam setahun.

Korban boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang cukup syaratnya, samada yang sedaang melakukan ibadat haji di Makkah atau di mana sahaja ia berada.

Di samping itu Rasulullah saw pernah memberi amaran atau ingatan kepada orang-orang yang berkemampuan untuk berkorban, tetapi enggan melakukannya, amaran seperti ini dapat difahami dari sepotong hadis Rasulullah saw yanng bermaksud: "Barangsiapa yang ada kemampuan tetapi ia tidak berkorban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami".

Ketika penyembelihan korban ada beberapa sunat-sunat patut diketahui, antaranya:

  • Didahului membaca "Bismillahhir Rahmanir Rahim
  • Sesudah membaca Bismillah, hendaklah bertakbir tiga kali
  • Selawat dan salam kepada Nabi
  • Menghadap kiblat dan
  • membaca doa supya korban itu diterima oleh Allah seperti maksudnya: "Oh Tuhan, nikmat ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, maka terimalah daripadaku".
"SELAMAT MENJALANKAN IBADAT KORBAN - BERSAMA MENEGAKKAN SYI'AR ISLAM"

Ikhlas dari:

(Hj. Abdullah Hj. Abd. Rahman)
Pengerusi
Masjid Abu uabidah Al Jarrah

(surat siaran kepada anak kariah dan kepada Pengerusi-Pengerusi Surau di bahwah kariah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai sempena Aidiladha 1430 H)

Wednesday, September 30, 2009

KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA

HATI ini tersentuh bila menatap berita bagaimana seorang ibu tentunya sudah lanjut usianya yang dihantar ke rumah orang-orang tua oleh anak kesayangannya. Si ibu meraung, merayu, memohon belas kasihan dengan penuh hiba minta agar dirinya jangan diperlakukan sedemikian.

Bagi mereka yang 'berhati', sitiwasi seperti ini sudah tentu amat menyayat hati dan jantung. Kenapakah tergamak si anak memperlakukan demikian kepada si ibu tua yang ingatannya tidak lain hanya ingin menghabiskan sisa-sias hidupnya bersama anak-anak dan cucu-cucunya, barangkali entah esok entah lusa ia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya, di mana hati dan perasaan anak-anak seperti ini. Tidakkah terfikir oleh si anak jika perbuatannya ini terjadi kepada dirinya sendiri, bagaimanakah perasaannya, kerana kita tidak tahu apakah yang akan terjadi pada masa mendatang, sesetengah manusia memang zalim atau mungkin tidak sedar diri dan terlupa bahawa Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Apakah perasaan kita sekiranya segala pengorbanan yang kita beri dipersiakan?, tidakkah kita merasa sedih, hampa dan kecewa, kerana itulah kita perlu melayan ibu bapa dengan sebaik-baiknyan, kerana pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang hakiki, bukan pengorbanan yang dipaksa-paksa, atau dilakukan dengan sambil lewa sahaja.

Cuba kita renungkan firman Allah dalam surah Al Isyrak ayat 23-24 yang (mafhumnya): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaiman mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku.

Oleh itu nyatalah tuntutan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah tuntutan yang wajib, ia adalah perintah Allah. Anak-anak yang melaksanakan akan mendapat ganjaran yang besar, tetapi sekiranya tuntutan ini ditinggalkan, mereka akan disiksa di akhirat kelak, apatah lagi jika mereka menyakiti hati keduanya.

Sebenarnya Islam itu sendiri menganjurkan umatnya supaya sentiasa merendah diri, terutama kepada kedua ibu bapa, sikap meninggikan diri adalah ditegah kerana ia boleh membawa kepada perpecahan dan kebinasaan. Bagitu juga dengan konteks bergaul dengan ibu bapa, kita dituntut merendah diri, tidak kira walau bagaimana besar jawatan disandang , walau sebanyak mana wang ringgit dan harta yang kita miliki, walau sebesar mana pengaruh dan kuasa yang ada di taggan kita, kita hendaklah merendah diri dan anggaplah mereka sebagai orang yang sewajarnya mendapat pembelaan dan disanjung sepanjang masa, tidak kira mereka masih hidup atau pun telah kembali ke alam baqa.

Terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menyuruh supaya melebihkan ibu daripada bapa, ini mungkin kerana ibu lebih banyak berkorban, bersusah payah, membesar serta mendidik anak-anak berbanding dengan bapa. Dalam sebuah hadis Rasulullah saw baginda melebihkan ibu tiga kali ganda dari bapa, sabda baginda (mafhumnya): Pada satu hari datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya, "Siapa yang lebih berhak mendapat perhatian yang lebih baik dari saya?, jawab baginda "Ibumu", dan dia bertanya lagi, selepas itu siapa?,,jawab baginda, "Ibumu" kemudian dia bertanya lagi, selepas itu siapa? jawab baginda lagi "Ibumu", dia bertanya lagi, kemudian itu siapa lagi, jawab baginda, "Bapamu".

Dan dalam hadis yang lain pula Rasulullah saw menjelaskan "Bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu".

Kepada mereka yang masih ada ayah dan ibu sayangilah mereka, berilah kasih sayang yang sewajarnya, agar kita tidak menyesal sepanjang hayat atas kesilapan dan tindakan kita semasa mereka masih hidup. KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA".

Sunday, September 20, 2009

HUBUNGKAN SILATUR-RAHIM

Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, walilahilham,

Muslim muslimat yang budiman lagi di rahmati Allah sekalian
Assalamualikum warahmatullahi wabarkatuh.

Ramadn Al Mubarak telah kita tinggalkan, apakah kita sempat bertemua lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan, kesabaran, keinsafan dan bulan ketakwaan ini. Hanya Allah sahaja yang menentukan. Namun sama-samalah kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita masih lagi berada dalam ketaatan kepadaanya.

Walaupun perasaan kita pada ketika ini, suka, gembira sedih dan mungkin menyesal (menyesal kerana kita tidak merebut tawaran Allah yang Maha Pemurah dengan sebaiknya, mana ada tawaran paling lumayan yang Allah tawarakan selain dari bulan Ramadan seperti: keredaan Allah, keampunan Allah, balasan syurga, bonos 1000 bulan, tingkatkan taqwa, syaitan dibelengu, sihat tubuh badan, rezeki mencurah, doa dimakbul, malam lailatul Qadar (lebih baiak dari 1000 bulan) . Ya Ramadn tetap pergi meninggalkan kita, Ramadan ini kita tinggalkan dengan penuh seribu macam kenangan dan apa yang pasti kita meneruskan kehidupan sehingga ke akhir hayat. Oleh itu sama-samalah kita meneruskan sisa kehidupan ini dengan melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Hari ini hari raya aidilfitri. Aidilfitri memberi makna kembali kepada "fitrah" iaitu seorang yang telah berjaya melakukan ibadat puasa yang diwajibkan serta memelihara diri daripada berbagai tuntutan hawa nafsu yang melampau, memelihara lidah dari kata-kata keji dan nesta, tidak membuat pembohongan dan lain-lain. Di samping itu mereka menambah ibadat-ibadat sunat yang sangat digalakkan dan berjaya menunaikan kewajipan berzakat sebelum berlalunya solat aidilfitri sebentar nanti Maka sesungguhnya mereka inilah yang menurut perhitungan Allah SWT layak kembali kepada fitrah, iaitu suci bersih daripada dosa seperti mula dilahikan. Sesunguhnya demikianlah betapa hebatnya ibadat puasa kepada mereka yanng berjaya menunaikan dengan beribadat bersungguh-sungguh, mereka inilah gulungan yang layak merayakan aidil-fitri dengan penuh rasa kegembiraan. Benarlah seperti sabda Rasulullah saw yang menyatakana: bahawa orang yang berjaya menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan kesedaran maka bagi mereka dua kegembiraan: gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu Allah SWT.

Sesungguhnya hikmah yang terkandung dalam ibadat aidil-fitri, bukan semata-mata ibadat yang menghubungkan seorang hamba dengan penciptanya sahaja, bahkan ianya merupakan hubungan langsung sesama manusia, di waktu merayakannya umat Islam digalakkan untuk sama-sama berkongsi kegembiraan, tidak kira di mana mereka berada, cara yang paling penting dalam menghidupkan syiar aidil-fitri ini ialah dengan menghubungkan silatur-Rahim. Allah berfirman dalam surah al nisaa -ayat 1 : (mafhumnya): Bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta Dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim).

Perintah menghubungkan silaturrahim khususnya di waktu menyambut aidil-fitri adalah suatu yang sangat besar manfaatnya, ianya satu syiar yang melambangkan kesatuan akidah dan syariat umat Islam seluruh dunia. Dengan kokohnya hubungan persaudaraan antara umat Islam akan terserlahlah kehebatan dan kekuatan umat dan berjaya memperiratkan hubungan silaturrahim, yakni hubungan persaudara sesama Islam.

Sesungguhnya dengan menghubunkan silaturrahim di musim perayaan ini, kita bukan saja dapat meningkatkan persahabatan, bahkan dapat menjernihkan segala salah faham serta keterlanjuran dan memohon kemaafan di atas segala kesalahan yang lalu. Mudah-mudahan dengan ini akan terpeliharalah kehidupan dan kedamaian hidup bekeluarga dan bermasyarakat. Sesungguhnya Allah Taala menghendaki kita melaksanakan hubungan silaturrahim kerana ianya adalah tuntutan ajaran Islam sebagaimana firmanNya dalam surah An nisaa' ayat 36 yang mafhumnya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiaran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

Dari itu eratkanlah persaudaraan dan pertingkatkan iakatan Ehkhutul Islmiah sejagat, marilah di hari yang mulia ini kita sama-sama menghayati firman Allah dalam surah Al Anfal ayat 47 yang (mafhumnya) :
Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.

Muslimin, Muslimat para tetamu Allah sekalian,
Di kesempatan hari baik bulan baik ini saya dengan rasa bersyukur dan berbangga mengatur kan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penyumbang-penyumbang bagi tujuan berbuka puasa di masjid ini sepanjang sebulan berpuasa. Terima kasih banyak kepadaa Y.Bhg. Dato' Fauziah tuan punya Sri Urtama International School yang telah bemurah hati bersedekah nasi dan anika lauk sebanyak 120 bungkus, serta dua jenis kuih 150 biji setiap jenis pada setiap hari. Bagitu juga kepada wakil rakya Parlimen Setiawangsa YB Dato' Sri Hj. Zulhasnan Rafique yang telah menyumbang bantuan berbentuk wang dan lain-lain bentuk bantuan pada sepanjang masa. Bagitu juga terima kasih saya kepada orang persaorangan yang tak dapat saya nyatakan satu persatu di sini. Hanya Allah saja yang berupaya membalas segala kebaikkan ini.

saudara-saudara yag saya kasihi sekalian, barangkali selepas solat sunat ini nanti mungkin saudara-saudara akan meningalkan ibu kota, kepada saudara-saudara saya harap memandulah dengan berhemah, jangan tergopoh-gapah, kerana gopoh-gapah itu adalah bisikan syaitan.

Akhir qalam saya dan keluarga serta seluruh AJK dan kakitangan masjid yang terdiri dari Imam-Imam, bilal-bilal dan pembantu-pembantu masjid mengucapkan kepada muslimin dan muslimat sekalian: "Selamat merayakan aidil-fitri serta memohon maaf zahir & batin.
Minal aidin walfa izizn, wakolum Aamim waantum bikhirr.

Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, walililahil ham.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalmualikum warahmatullahi wabarkatuh

(Petikkan ucapan yang saya sampaikan kepada para jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai Kuala Lumpur, sebelum solat aidil-fitri 1430 h)

Friday, September 4, 2009

BACALAH AL QURAN

AL QURAN kitab suci yang menjadi panduan hidup dan matinya umat Islam. Dinamakan demikian (Quran) memberi pengertian bahawa Al Quran itu harus selalu dibaca dan diperhatikan isinya.

Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bahasa Arab. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang lengkap mengandungi segala hukum, petunjuk, pedoman, pelajaran, nasihat, cerita sejarah dan ilmu pengetahuan yang dapat memimpin manusia ke arah kebenaran, ketinggian dan kemuliaan dunia dan akhirat.

Al Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah, kandungannya mencakupi segala syariat yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya.

Surah yang mula-mula diturunkan ialah Al Alaq (segumpul darah) kerana pada bahagian awal surah ini Tuhan menegaskan bahawa: Ia mencipta manusia dari segumpul darah beku
Surah ini juga dikenali dengan nama surah "Iqrak" atau Al Qalam.

Pada peringkat awalnya hanya lima ayat dari surah ini yang di turunkan, surah ini membawa perintah dari Allah supaya membaca Al Quran. Memperingatkan dan memberi tahu bahawa manusia ini dijadikan dari darah beku. Allah jadikan qalam sebagai alat untuk mengmbangkan pengetahuan atau pelajaran.

Ianya diturunkan oleh Allah Taala kepada junjungan kita Muhammad saw dalm bulan Ramadan, pada malam kemuliaan (Lailatul-Qadar). Tarikh keramat itu ialah pada 17 Ramadan tatkala itu baginda Rasulullah saw berusia 41 tahun.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 185 (mfhumnya): Masa yang diwajibkan berpuasa itu pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia.

Dewasa itu baginda sedang beribadat di Gua Hirak, di negeri Makkah Al-Mukarramah. Al Quran merupakan sebesar-besar nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia seluruhnya.

Hanya dengan panduan Al Quran - 'Kalamullah' sahajalah umat manusia akan mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahgiaan yang kekal di akhirat.
Lima ayat yang awal diturunkan itu mengemukakan tiga perkara besar:
  • Allah Tuhan sekalian Alam yang Maha Esa dan Maha Berkuasa yang wajib diingati dan dipatuhi dalam segala keadaan
  • Manusia yang telah dicipta oleh Allah Taala adalah sebaik-baik kaadaan dan diberi berbagai keistimewaan berbanding dengan makhluk lain.
  • Nikmat ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Allah Taala kepada manusia melalui pena dan tulisan
Cara Al Quran diturunkan adalah dengan beransur-ansur selama 22 tahun dua bulan dan 22 hari, dengan perantaraan Malaikat Jibril yang datang secara berulang-alik sebanyak 2,000 kali.
Al Quran mengandungi 114 surah, surah-surah ini berlainan nama dan berbeza pula panjang pendeknya. Surah Al Baqarah adalah yang terpanjang sekali dengan mengandungi 286 ayat. Manakala surah Al Kausar mengandungi tiga ayat ialah yang terpendek.
Surah dan ayat ini dibahagikan kepada 30 juzuk (bahagian) juz pertama 'Alif Lam Mim' dan disudahi juz 'Ammayatasa.

Surah terakhir diturunkan ialah ayat ke tiga surah Al Maidah seperti firmannya (mafhumnya): Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu

Peristiwa ini terjadinya tanggal sembilan Zulhijjah tahun yang ke sepuluh Hijrah. Ketika itu baginda Rasulullah saw sedang mengerjakan haji widak (haji selamat tinggal).

Membaca Al Quran adalah amalan yang sangat mulia dan akan memperolehi pahala yang berlipat ganda kerana yang dibaca itu ialah kitab suci dari Allah.

Al Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin. baik di kala senang atau di kala susah, di kala gembira atau di kala duka.

Malah membaca Al Quran itu bukan saja menjadi amalan dan ibadat bahkan menjadi ubat bagi jiwa yang resah gelisah.Sabdar Rasulullah saw (mafhumnya): Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah ibadat, membaca Al Quran secara bergilir-gilir dan mengajarkan terhadap sesamanya (tadarus), akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpahlah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh Malaikat, juga Allah akan selalu mengingat mereka - Riwayat Muslim dari Abu Hurairah.

Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang membaca wahyu Allah ini. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran yang berganda-ganda. Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa, (maksudnya): Tiap-tiap orang yang membaca Al Quran dalam sembahyang akan mendapat pahala lima puluh kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya, membaca di luar sembahyang dengan berwuduk pahalanya dua puluh lima kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya. Membaca Al Quran di luar sembahyang dengan tidak berwuduk pahalanya sepuluh kebajikan bagi setiap huruf yang dibacanya.

Di dalam ajaran Islam, bukan hanya orang yang membaca Al Quran sahaja yang memperolehi pahala dan rahmat, tetapi mendengar bacaan Al Quran juga akan diberi pahala. Sesetengah ulama' berpendapat mendengar orang membaca Al Quran pahalanya sama banyak dengan orang yang membaca itu sendiri.

Malah memandang kepada ayat-ayat Al Quran juga diberi pahala oleh Allah.
Bagi ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka hingga pandai membaca Al Quran, di akhirat nanti akan diberikan satu mahkota dari dalam syurga.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Siti Aisah r.a. Rasulullah saw bersabda, (Mafhumnya): Orang yang membaca Al Quran dengan mahir kelak mendapat tempat dalam Syurga bersama-sama dengan Rasul-Rasul yang mulia. Dan bagi mereka yang membaca Al Quran tetapi tidak berapa mahir membacanya dengan terhenti-henti, terputus-putus dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia pun beroleh dua pahala.

Bagi mereka yang membaca Al Quran adalah disunatkan sujud apabila bacaannya sampai kepada ayat-ayat sejadah (ayat sujud). Sujud ini dinamakan sujud sejadah atau sujud tilawah.
Bagitu juga disunatkan sujud kepada orang yang mendengarnya apabila orang yang membaca itu sujud mereka yanag mendengar atau makmumnya hendaklah bersujud sama, jika yang membacanya tidak sujud yang mendengar tidaklah disunatkan sujud.

Bacalah Al Quran bila ada kelapangan atau bahagi-bahagikanlah masa untuknya, umpamanya beberapa hijab atau beberapa ayat selepas sembahyang, atau pada bila-bila masa yang terluang agar dapat di tamatkan (khatam).

Dalam hal mengkhatamkan bacaan Al Quran ini adalah mengikut kemampuan sesaorang ada yang mengkhatamkannya setiap minggu, setiap bulan, atau ada juga yang setahun sekali, malah ramai pula yang boleh khatam dalam sebulan Ramadan.

Namun Nabi saw menyarankan agar bacaan Al Quran dapat dikhatamkan setiap minggu, yakni dikhatamkan setiap malam Jumaat.

Tiada satu kebahgiaan dalam hati sesaorang Muslim, melainkan apabila dia dapat membaca Al Quran sampai khatam, apabila telah khatam itulah puncak segala kebahgiaan hatinya.
Apabila telah khatam bacalah doa memohon kepada Allah agar menjadikan Al Quran sebagai syafaat (perlindungan), apabila kita tidak lagi mendapat apa-apa perlindungan dan pertolongan dari yang lain-lain di Padang Mahsyar nanti.

Doa yang selalu dibaca ialah: (seperti yang terdapat dalam doa khatam Al Quran):
" Ya Allah terimalah doa dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat. Tunjuki dan bimbingilah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat Al Quran.

Ya Allah kasihanilah kami dengan bacaan Al Quran dan jadikannya sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari Al Quran dan ajarkanlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi Al Quran dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang dan jadikanlah AlQuran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai Tuhan yang memelihara sekalian alam.

Ya Allah hiasilah diri kami dengan keindahan Al Quran, muliakanlah kami dengan kemulian Al Quran dan serikanlah kami dengan ketinggian martabat Al Quran dan pakaikanlah kami dengan pakaian permata Al Quran. Masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan syafaat (pertolongan) Al Quran. Selamatkanlah kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan Al Quran.


Nota peringatan: Rasulullah saw bersabda mfhumnya: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.SELMAT MENYAMBUT NUZUL AL QURAN

Tuesday, September 1, 2009

RAHMAH, KEAMPUNAN DAN KELEPASAN DARI API NERAKA

Hari ini 11 Ramadan, sangat pantas masa berlalu, kita telah meninggalkan sepuluh hari puasa Ramadan tahun ini, jika umur masih ada dapatlah kita beribadat dalam sepuluh hari kedua dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Acapkali kita dengar pada bulan Ramadan ini, "Permulaannya rahmat, pertengahanya keampunan dan pada sepuluh teraklhir kelepasan dari api neraka". Mengikut sesetengah ulama' hadis ini adalah dari hadis yang lemah (walaupun ia dikatakan hadis lemah tetapi ia sangat boleh diterima pakai kerana masudnya yang memberi kita ingatan setiap ketika).
Sebenarnya (mengikut sesetengah 'ustaz' , sepanjang bulan Ramadan yaitu dari satu Ramadan hingga ke akhir Ramadan adalah meliputi semuanya, yaitu, "Rahmah, keampunan dan kelepasan dari api neraka". Oleh itu rebutlah beramal ibadat dari sejak satu Ramadan hingga ke akhirnya agar kita tidak terlepas dari mendapat pahala yang dijanjikan Allah, kerana bulan Ramadan apa saja kebaikkan yang kita kerjakan akan mendapat balasan yang lebih 'lumayan' dari Allah. Bagitulah sayangnya dan pemurahnya Allah kepada kita yang taat mengerjakan segala suruhannya.
Sepekara lagi samada sedar atau tidak, semasa kita menjalankan 'ibadat puasa' maksudnya semasa kita dalam berpuasa kita melakukan perkara-perkara yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sesaoranng yang sedang beribadat, sudah tentu ibadat kita kurang kualitinya, walaupun ia mungkin tidak sampai kepada membatalkan. Ibadat yang kurang kualitinya sudah tentu kuranglah pahalanya, alangkah ruginya kita jika ini terjadi, kerana pahala yang kita harapkan mungkin kurang atau tak seberapa, yakni tidak sampai kepada tahap yang kita harap-harapkan.
Ingatlah, jika Jumaat Penghulu segala hari, Allah menjadikan ramai Malaikat maka Jibril itu Penghulunya, Allah menjadikan masjid-masjid maka Masjid Al Haram itulah Penghulujnya. Allah menjadikan bumi dan langit maka Tanah Haram Makkah itulah Penghulunya. Allah menjadikan segala kitab, Al Quranul Karim itulah Penghulunya, Allah menjadikan bulan-bulan (12 bulan setahun) maka Ramadan itulah Penghulunya. Allah menjadikan para Nabi dan Rasul, maka Nabi Mohammad saw itulah Penghulunya, Allah menjadikan malam maka Lailatul qadar itulah Penghulunya. Ya kita kini berada dalam Penghulu segala bulan, Penghulu segala malam dan kita banyak membaca Al Quran Penghulu segala kitab.
Beruntunglah kita jika kita berada di bulan yang penuh dengan keberkatan-Nya ini. Kita sepatutnya mengutip segala kurniaan Allah ini untuk di bawa balik sebagai bekalan ke alam yang kekal.
Jadikanlah tahun ini umpama tahun akhir kita berada dengan Penghulu segala bulan, Penghulu segala malam dan membaca Penghulu segala kitab. Beruntunglah mereka yang dapat merebut kurniaan Allah ini.