Sunday, September 20, 2009

HUBUNGKAN SILATUR-RAHIM

Allahhuakhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, walilahilham,

Muslim muslimat yang budiman lagi di rahmati Allah sekalian
Assalamualikum warahmatullahi wabarkatuh.

Ramadn Al Mubarak telah kita tinggalkan, apakah kita sempat bertemua lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan, kesabaran, keinsafan dan bulan ketakwaan ini. Hanya Allah sahaja yang menentukan. Namun sama-samalah kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita masih lagi berada dalam ketaatan kepadaanya.

Walaupun perasaan kita pada ketika ini, suka, gembira sedih dan mungkin menyesal (menyesal kerana kita tidak merebut tawaran Allah yang Maha Pemurah dengan sebaiknya, mana ada tawaran paling lumayan yang Allah tawarakan selain dari bulan Ramadan seperti: keredaan Allah, keampunan Allah, balasan syurga, bonos 1000 bulan, tingkatkan taqwa, syaitan dibelengu, sihat tubuh badan, rezeki mencurah, doa dimakbul, malam lailatul Qadar (lebih baiak dari 1000 bulan) . Ya Ramadn tetap pergi meninggalkan kita, Ramadan ini kita tinggalkan dengan penuh seribu macam kenangan dan apa yang pasti kita meneruskan kehidupan sehingga ke akhir hayat. Oleh itu sama-samalah kita meneruskan sisa kehidupan ini dengan melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Hari ini hari raya aidilfitri. Aidilfitri memberi makna kembali kepada "fitrah" iaitu seorang yang telah berjaya melakukan ibadat puasa yang diwajibkan serta memelihara diri daripada berbagai tuntutan hawa nafsu yang melampau, memelihara lidah dari kata-kata keji dan nesta, tidak membuat pembohongan dan lain-lain. Di samping itu mereka menambah ibadat-ibadat sunat yang sangat digalakkan dan berjaya menunaikan kewajipan berzakat sebelum berlalunya solat aidilfitri sebentar nanti Maka sesungguhnya mereka inilah yang menurut perhitungan Allah SWT layak kembali kepada fitrah, iaitu suci bersih daripada dosa seperti mula dilahikan. Sesunguhnya demikianlah betapa hebatnya ibadat puasa kepada mereka yanng berjaya menunaikan dengan beribadat bersungguh-sungguh, mereka inilah gulungan yang layak merayakan aidil-fitri dengan penuh rasa kegembiraan. Benarlah seperti sabda Rasulullah saw yang menyatakana: bahawa orang yang berjaya menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan kesedaran maka bagi mereka dua kegembiraan: gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu Allah SWT.

Sesungguhnya hikmah yang terkandung dalam ibadat aidil-fitri, bukan semata-mata ibadat yang menghubungkan seorang hamba dengan penciptanya sahaja, bahkan ianya merupakan hubungan langsung sesama manusia, di waktu merayakannya umat Islam digalakkan untuk sama-sama berkongsi kegembiraan, tidak kira di mana mereka berada, cara yang paling penting dalam menghidupkan syiar aidil-fitri ini ialah dengan menghubungkan silatur-Rahim. Allah berfirman dalam surah al nisaa -ayat 1 : (mafhumnya): Bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta Dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim).

Perintah menghubungkan silaturrahim khususnya di waktu menyambut aidil-fitri adalah suatu yang sangat besar manfaatnya, ianya satu syiar yang melambangkan kesatuan akidah dan syariat umat Islam seluruh dunia. Dengan kokohnya hubungan persaudaraan antara umat Islam akan terserlahlah kehebatan dan kekuatan umat dan berjaya memperiratkan hubungan silaturrahim, yakni hubungan persaudara sesama Islam.

Sesungguhnya dengan menghubunkan silaturrahim di musim perayaan ini, kita bukan saja dapat meningkatkan persahabatan, bahkan dapat menjernihkan segala salah faham serta keterlanjuran dan memohon kemaafan di atas segala kesalahan yang lalu. Mudah-mudahan dengan ini akan terpeliharalah kehidupan dan kedamaian hidup bekeluarga dan bermasyarakat. Sesungguhnya Allah Taala menghendaki kita melaksanakan hubungan silaturrahim kerana ianya adalah tuntutan ajaran Islam sebagaimana firmanNya dalam surah An nisaa' ayat 36 yang mafhumnya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiaran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

Dari itu eratkanlah persaudaraan dan pertingkatkan iakatan Ehkhutul Islmiah sejagat, marilah di hari yang mulia ini kita sama-sama menghayati firman Allah dalam surah Al Anfal ayat 47 yang (mafhumnya) :
Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.

Muslimin, Muslimat para tetamu Allah sekalian,
Di kesempatan hari baik bulan baik ini saya dengan rasa bersyukur dan berbangga mengatur kan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penyumbang-penyumbang bagi tujuan berbuka puasa di masjid ini sepanjang sebulan berpuasa. Terima kasih banyak kepadaa Y.Bhg. Dato' Fauziah tuan punya Sri Urtama International School yang telah bemurah hati bersedekah nasi dan anika lauk sebanyak 120 bungkus, serta dua jenis kuih 150 biji setiap jenis pada setiap hari. Bagitu juga kepada wakil rakya Parlimen Setiawangsa YB Dato' Sri Hj. Zulhasnan Rafique yang telah menyumbang bantuan berbentuk wang dan lain-lain bentuk bantuan pada sepanjang masa. Bagitu juga terima kasih saya kepada orang persaorangan yang tak dapat saya nyatakan satu persatu di sini. Hanya Allah saja yang berupaya membalas segala kebaikkan ini.

saudara-saudara yag saya kasihi sekalian, barangkali selepas solat sunat ini nanti mungkin saudara-saudara akan meningalkan ibu kota, kepada saudara-saudara saya harap memandulah dengan berhemah, jangan tergopoh-gapah, kerana gopoh-gapah itu adalah bisikan syaitan.

Akhir qalam saya dan keluarga serta seluruh AJK dan kakitangan masjid yang terdiri dari Imam-Imam, bilal-bilal dan pembantu-pembantu masjid mengucapkan kepada muslimin dan muslimat sekalian: "Selamat merayakan aidil-fitri serta memohon maaf zahir & batin.
Minal aidin walfa izizn, wakolum Aamim waantum bikhirr.

Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, walililahil ham.

Sekian, wabillahi taufik wal-hidayah, wassalmualikum warahmatullahi wabarkatuh

(Petikkan ucapan yang saya sampaikan kepada para jemaah Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai Kuala Lumpur, sebelum solat aidil-fitri 1430 h)

Friday, September 4, 2009

BACALAH AL QURAN

AL QURAN kitab suci yang menjadi panduan hidup dan matinya umat Islam. Dinamakan demikian (Quran) memberi pengertian bahawa Al Quran itu harus selalu dibaca dan diperhatikan isinya.

Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bahasa Arab. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang lengkap mengandungi segala hukum, petunjuk, pedoman, pelajaran, nasihat, cerita sejarah dan ilmu pengetahuan yang dapat memimpin manusia ke arah kebenaran, ketinggian dan kemuliaan dunia dan akhirat.

Al Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah, kandungannya mencakupi segala syariat yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya.

Surah yang mula-mula diturunkan ialah Al Alaq (segumpul darah) kerana pada bahagian awal surah ini Tuhan menegaskan bahawa: Ia mencipta manusia dari segumpul darah beku
Surah ini juga dikenali dengan nama surah "Iqrak" atau Al Qalam.

Pada peringkat awalnya hanya lima ayat dari surah ini yang di turunkan, surah ini membawa perintah dari Allah supaya membaca Al Quran. Memperingatkan dan memberi tahu bahawa manusia ini dijadikan dari darah beku. Allah jadikan qalam sebagai alat untuk mengmbangkan pengetahuan atau pelajaran.

Ianya diturunkan oleh Allah Taala kepada junjungan kita Muhammad saw dalm bulan Ramadan, pada malam kemuliaan (Lailatul-Qadar). Tarikh keramat itu ialah pada 17 Ramadan tatkala itu baginda Rasulullah saw berusia 41 tahun.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 185 (mfhumnya): Masa yang diwajibkan berpuasa itu pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia.

Dewasa itu baginda sedang beribadat di Gua Hirak, di negeri Makkah Al-Mukarramah. Al Quran merupakan sebesar-besar nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia seluruhnya.

Hanya dengan panduan Al Quran - 'Kalamullah' sahajalah umat manusia akan mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahgiaan yang kekal di akhirat.
Lima ayat yang awal diturunkan itu mengemukakan tiga perkara besar:
  • Allah Tuhan sekalian Alam yang Maha Esa dan Maha Berkuasa yang wajib diingati dan dipatuhi dalam segala keadaan
  • Manusia yang telah dicipta oleh Allah Taala adalah sebaik-baik kaadaan dan diberi berbagai keistimewaan berbanding dengan makhluk lain.
  • Nikmat ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Allah Taala kepada manusia melalui pena dan tulisan
Cara Al Quran diturunkan adalah dengan beransur-ansur selama 22 tahun dua bulan dan 22 hari, dengan perantaraan Malaikat Jibril yang datang secara berulang-alik sebanyak 2,000 kali.
Al Quran mengandungi 114 surah, surah-surah ini berlainan nama dan berbeza pula panjang pendeknya. Surah Al Baqarah adalah yang terpanjang sekali dengan mengandungi 286 ayat. Manakala surah Al Kausar mengandungi tiga ayat ialah yang terpendek.
Surah dan ayat ini dibahagikan kepada 30 juzuk (bahagian) juz pertama 'Alif Lam Mim' dan disudahi juz 'Ammayatasa.

Surah terakhir diturunkan ialah ayat ke tiga surah Al Maidah seperti firmannya (mafhumnya): Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu

Peristiwa ini terjadinya tanggal sembilan Zulhijjah tahun yang ke sepuluh Hijrah. Ketika itu baginda Rasulullah saw sedang mengerjakan haji widak (haji selamat tinggal).

Membaca Al Quran adalah amalan yang sangat mulia dan akan memperolehi pahala yang berlipat ganda kerana yang dibaca itu ialah kitab suci dari Allah.

Al Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin. baik di kala senang atau di kala susah, di kala gembira atau di kala duka.

Malah membaca Al Quran itu bukan saja menjadi amalan dan ibadat bahkan menjadi ubat bagi jiwa yang resah gelisah.Sabdar Rasulullah saw (mafhumnya): Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah ibadat, membaca Al Quran secara bergilir-gilir dan mengajarkan terhadap sesamanya (tadarus), akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpahlah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh Malaikat, juga Allah akan selalu mengingat mereka - Riwayat Muslim dari Abu Hurairah.

Allah menjanjikan pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang membaca wahyu Allah ini. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran yang berganda-ganda. Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa, (maksudnya): Tiap-tiap orang yang membaca Al Quran dalam sembahyang akan mendapat pahala lima puluh kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya, membaca di luar sembahyang dengan berwuduk pahalanya dua puluh lima kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya. Membaca Al Quran di luar sembahyang dengan tidak berwuduk pahalanya sepuluh kebajikan bagi setiap huruf yang dibacanya.

Di dalam ajaran Islam, bukan hanya orang yang membaca Al Quran sahaja yang memperolehi pahala dan rahmat, tetapi mendengar bacaan Al Quran juga akan diberi pahala. Sesetengah ulama' berpendapat mendengar orang membaca Al Quran pahalanya sama banyak dengan orang yang membaca itu sendiri.

Malah memandang kepada ayat-ayat Al Quran juga diberi pahala oleh Allah.
Bagi ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka hingga pandai membaca Al Quran, di akhirat nanti akan diberikan satu mahkota dari dalam syurga.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Siti Aisah r.a. Rasulullah saw bersabda, (Mafhumnya): Orang yang membaca Al Quran dengan mahir kelak mendapat tempat dalam Syurga bersama-sama dengan Rasul-Rasul yang mulia. Dan bagi mereka yang membaca Al Quran tetapi tidak berapa mahir membacanya dengan terhenti-henti, terputus-putus dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia pun beroleh dua pahala.

Bagi mereka yang membaca Al Quran adalah disunatkan sujud apabila bacaannya sampai kepada ayat-ayat sejadah (ayat sujud). Sujud ini dinamakan sujud sejadah atau sujud tilawah.
Bagitu juga disunatkan sujud kepada orang yang mendengarnya apabila orang yang membaca itu sujud mereka yanag mendengar atau makmumnya hendaklah bersujud sama, jika yang membacanya tidak sujud yang mendengar tidaklah disunatkan sujud.

Bacalah Al Quran bila ada kelapangan atau bahagi-bahagikanlah masa untuknya, umpamanya beberapa hijab atau beberapa ayat selepas sembahyang, atau pada bila-bila masa yang terluang agar dapat di tamatkan (khatam).

Dalam hal mengkhatamkan bacaan Al Quran ini adalah mengikut kemampuan sesaorang ada yang mengkhatamkannya setiap minggu, setiap bulan, atau ada juga yang setahun sekali, malah ramai pula yang boleh khatam dalam sebulan Ramadan.

Namun Nabi saw menyarankan agar bacaan Al Quran dapat dikhatamkan setiap minggu, yakni dikhatamkan setiap malam Jumaat.

Tiada satu kebahgiaan dalam hati sesaorang Muslim, melainkan apabila dia dapat membaca Al Quran sampai khatam, apabila telah khatam itulah puncak segala kebahgiaan hatinya.
Apabila telah khatam bacalah doa memohon kepada Allah agar menjadikan Al Quran sebagai syafaat (perlindungan), apabila kita tidak lagi mendapat apa-apa perlindungan dan pertolongan dari yang lain-lain di Padang Mahsyar nanti.

Doa yang selalu dibaca ialah: (seperti yang terdapat dalam doa khatam Al Quran):
" Ya Allah terimalah doa dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat. Tunjuki dan bimbingilah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat Al Quran.

Ya Allah kasihanilah kami dengan bacaan Al Quran dan jadikannya sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari Al Quran dan ajarkanlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi Al Quran dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang dan jadikanlah AlQuran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai Tuhan yang memelihara sekalian alam.

Ya Allah hiasilah diri kami dengan keindahan Al Quran, muliakanlah kami dengan kemulian Al Quran dan serikanlah kami dengan ketinggian martabat Al Quran dan pakaikanlah kami dengan pakaian permata Al Quran. Masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan syafaat (pertolongan) Al Quran. Selamatkanlah kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan Al Quran.


Nota peringatan: Rasulullah saw bersabda mfhumnya: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.SELMAT MENYAMBUT NUZUL AL QURAN

Tuesday, September 1, 2009

RAHMAH, KEAMPUNAN DAN KELEPASAN DARI API NERAKA

Hari ini 11 Ramadan, sangat pantas masa berlalu, kita telah meninggalkan sepuluh hari puasa Ramadan tahun ini, jika umur masih ada dapatlah kita beribadat dalam sepuluh hari kedua dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Acapkali kita dengar pada bulan Ramadan ini, "Permulaannya rahmat, pertengahanya keampunan dan pada sepuluh teraklhir kelepasan dari api neraka". Mengikut sesetengah ulama' hadis ini adalah dari hadis yang lemah (walaupun ia dikatakan hadis lemah tetapi ia sangat boleh diterima pakai kerana masudnya yang memberi kita ingatan setiap ketika).
Sebenarnya (mengikut sesetengah 'ustaz' , sepanjang bulan Ramadan yaitu dari satu Ramadan hingga ke akhir Ramadan adalah meliputi semuanya, yaitu, "Rahmah, keampunan dan kelepasan dari api neraka". Oleh itu rebutlah beramal ibadat dari sejak satu Ramadan hingga ke akhirnya agar kita tidak terlepas dari mendapat pahala yang dijanjikan Allah, kerana bulan Ramadan apa saja kebaikkan yang kita kerjakan akan mendapat balasan yang lebih 'lumayan' dari Allah. Bagitulah sayangnya dan pemurahnya Allah kepada kita yang taat mengerjakan segala suruhannya.
Sepekara lagi samada sedar atau tidak, semasa kita menjalankan 'ibadat puasa' maksudnya semasa kita dalam berpuasa kita melakukan perkara-perkara yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sesaoranng yang sedang beribadat, sudah tentu ibadat kita kurang kualitinya, walaupun ia mungkin tidak sampai kepada membatalkan. Ibadat yang kurang kualitinya sudah tentu kuranglah pahalanya, alangkah ruginya kita jika ini terjadi, kerana pahala yang kita harapkan mungkin kurang atau tak seberapa, yakni tidak sampai kepada tahap yang kita harap-harapkan.
Ingatlah, jika Jumaat Penghulu segala hari, Allah menjadikan ramai Malaikat maka Jibril itu Penghulunya, Allah menjadikan masjid-masjid maka Masjid Al Haram itulah Penghulujnya. Allah menjadikan bumi dan langit maka Tanah Haram Makkah itulah Penghulunya. Allah menjadikan segala kitab, Al Quranul Karim itulah Penghulunya, Allah menjadikan bulan-bulan (12 bulan setahun) maka Ramadan itulah Penghulunya. Allah menjadikan para Nabi dan Rasul, maka Nabi Mohammad saw itulah Penghulunya, Allah menjadikan malam maka Lailatul qadar itulah Penghulunya. Ya kita kini berada dalam Penghulu segala bulan, Penghulu segala malam dan kita banyak membaca Al Quran Penghulu segala kitab.
Beruntunglah kita jika kita berada di bulan yang penuh dengan keberkatan-Nya ini. Kita sepatutnya mengutip segala kurniaan Allah ini untuk di bawa balik sebagai bekalan ke alam yang kekal.
Jadikanlah tahun ini umpama tahun akhir kita berada dengan Penghulu segala bulan, Penghulu segala malam dan membaca Penghulu segala kitab. Beruntunglah mereka yang dapat merebut kurniaan Allah ini.

Saturday, August 22, 2009

RAMADAN, BULAN KEBENARAN, KEKUATAN, KEBEBASAN DAN KEADILAN

Rasulullah saw menyeru dalam sabdanya (mafhumnya): "Wahai manusia, bulan yang besar dan barkat telah tiba kepadamu. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah memfardukan berpuasa pada bulan itu dan menjadikan ibadat malamnya sebagai amalan sunat. Barangsiapa yang menghampirkan diri kepada Allah pada bulan itu denagn satu kebaikan maka bagaikan ia menunaikan satu amalan fardu pada bulan yang lain. Barangsiapa yang menunaikan satu kefarduan maka bagaikan ia menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain. ia adalah bulan kesabaran, kesabaran itu ganjarannya syurga. Ia adalah bulan keselesaaan dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman". Demikian khutubah yang disampaikan oleh Rasulullah saw pada akhir bulan Syaaban.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita ucapkan berbanyak-banyak syukur ke hadrat Allah awt kerana dengan limpah kurnianya sekali lagi diberi-Nya peluang menyedut udara Ramadan. Ramadan bulan yang penuh keberkataan. Siapa yang menduga kita dapat menyambut bulan mulia ini pada tahun ini. Berapa ramai sahabat kita yang sama-sama menyambut Ramadan tahun-tahun yang lalu, tetapi Ramdan kali ini mereka tidak lagi bersama-sama kita, lantaran telah dipanggil pulang oleh Allah Azzawajalla.
Jadi anggaplah Ramadan kali ini umpama Ramadan yang terakhir buat kita . Sebaba itu jadikan Ramadan 'akhir' ini yang terbaik jangan kita lalai merebut peluang bagi mecari keredaan Allah.
Ya tuan-tuan dan puan-puan. Jika di tinjau kepada aspek puasa itu sendiri ia merupakan salah satu ibadat yang berdiri di atas dasar-dasar kesabaran. Sabar mentaati perintah Allah swt dan sabar meninggalkan larangan-larangan serta sabar menghadapi penderitaan lapar dan dahaga dalam kaadaan jasmani yang lemah, sebab itulah Rasulullah saw menamakan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai bulan kesabaran seperti sabdanya (Mafhumnya):Puasa itu separuh dari kesabaran. dan sabda baginda lagi (mafhumnya): Sabar adalah separuh dari iman.
Muslimin Muslimat sekalian,
Sesuatu yang harus kita tanamkan di hati bahawa bulan puasa ini sebenarnya bulan yang diharapkan kita semua lebih bertakwa seperti firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman di wajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah di wajibkan kepada orang sebelum kamu Semua kamu betakwa.
Dalam hal takwa ini Allah juga telah berfirman dalam surah Asysyu'ara ayat 90 yang mafhumnya: Dan syurga itu didekatkan kepada orang yang bertakwa
Dalam surah Al Baqarah ayat 197 pula Allah berfirman: (mafhumnya): hendaklah kamu membawa bekal secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah takwa.
Muslimin, muslimat yang dirahmati Allah
Marilah kita tekadkan di hati supaya hari ini lebih takwa dari semalam, tahun ini lebih takwa dari tahun-tahun sebelumnya. insya Allah
Sidang jemaah para tetamu Allah sekalian,
Ibadat puasa sebenarnya mempunyai falsafah yang amat menarik untuk dihayati. Ia bukan sekadar berlapar di siang hari serta menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat berkenaan, tetapi ia mempunyai manifestasi yang luas, merangkumi berbagai aspek kehidupan. Ia membabitkan kesucian hati, keikhlasan pengabadian dan rendah diri, simpati dan banyak lagi kesan-kesan daripadanya.
Dalam syariat Islam, puasa mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar dan bulan ibadat ini sekiranya dihayati sepenuhnya ia boleh meningkatkan ketakwaan orang mukmin terhadap Allah SWT. Dengan itu sewajarnyalah umat Islam mengambil kesempatan dari bulan Ramadan untuk beramal soleh dan mengimarahkan masjid untuk lebih rajin melakukan ibadat dan ketaatan, seperti memprbanyakkan sedekah dan menghulurkan pertolongan, membaca Al Quran, bertaraweh dan lain-lain lagi. Rebutlah peluang atas kemurahan Allah ini dengan sebaik-baiknya.
Akhirnya sukalah saya memetik sebuah hadis Rasulullah saw yang mafhumnya: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan dan aku telah sunahkan kepada kamu berdiri pada malamnya (solat sunat taraweh) dan barangsiapa yang berpuasa pada siang hari dan solat (solat taraweh pada malamnya kerana mengharapkan keredaan Allah nescaya keluarlah ia yakni selamatlah dia dari dosa seperti hari ia dilakhirkan oleh ibunya.
Suka juga saya maklumkan di sini iaitu bayaran fitrah tahun ini (tahun 1430 H) ialah RM 7.00 bagi satu fitrah. Silalah tunaikan kewajipan ini mulai satu Ramadan hingga sebelum solat sunat aidilfitri. Namun bagitu membayar lebih awal adalah lebih menyenangkan amil-amil kami juga diri Tuan-tuan sekalian.
Seperti tahun-tahun lalu pihak masjid mengadakan majlis berbuka puasa di masjid, saya dengan hormatnya mempersilakan semua jemaah sama-sama berbuka di masjid, lima belas minit sebelum berbuka sama-sama kita bertahalil arawah. Bagitu juga pihak masjid ada menyediakan bubur lambuk untuk anak-anak kariah, Tuan-tuan dan puan dipersilakan datang mengambil bibur ini selepas waktu asar.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamuaikum w.r k.
(antara petikkan ucapan yang disampaikan kepada jemaah MASJID ABU UBAIDAH AL JARAH, TAMAN SRI RAMPAI pada malam pertama menyambut Ramadan)




Monday, July 27, 2009

PUASA

BULAN Ramadan adalah bulan yang diwajibkan (fardu ain) berpuasa kepada penganut Islam yang mukallaf. Ibadat puasa salah satu rukun Islam yang lima ini telah mula difardukan kepada umat Islam ialah pada tahun ke dua hijrah.
Puasa (assaum) bererti menahan (al-imsak) daripada sesuatu perkara seperti firman Allah SWT dalam surah Mariam ayat 26 (mafhumnya): Sesungguhnya aku telah berjanji (bernazar) bagi Tuhan yang bersifat pengasih akan mengerjakan puasa - yakni menahan diri dan diam dari berkata-kata.
Dalam istilah umum syarak pula membawa erti menahan diri daripada perkara-perkara tertentu, oleh orang tertentu, pada waktu-waktu tertentu dengan beberapa syarat
Kesebulatan pendapat (ijmak) bahawa kita diwajibkan berpuasa apabila telah yakin betul datangnya bulan Ramadan dengan melihat anak bulan (rukyah al hilal) pada malam tiga pulu Syaaban. Apabila anak bulan tidak kelihatan maka hendaklah digenapkan Syaaban tiga puluh hari, ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw (mafhumnya): Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan (Ramadan) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat anak bulan (Syawal). Kamudian jika kamu terhalang oleh awan maka genapkanlah bilangan Syaaban tiga puluh hari. - Riwayat Bohari dan Muslim
Penyaksian rukyah "al hilal" ini hendaklah datangnya dari seorang atau dua orang yang adil.
Pada siangnya (mulai terbit fajar hingga terbenam matahari) sesaorang yang berpuasa hendaklah menahan diri diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. FirmanAllah (mafhumnya): Dan makanlah dan minumlah sehingga nampak jelas olehmu benang putih dari benang hitam, yakni fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam - Surah Al-Baqarah ayat 187.
Antara perkara yang menjadikan puasa itu terbatal ialah
  • Makan atau minum dengan sengaja.
  • Memasukkan sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga yang ada di tubuh badan.
  • Muntah dengan sengaja.
  • Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
  • Keluar mani dengan disengajakan, (jika keluar mani kerana bermimpi walaupun di siang hari tidak batal puasanya).
  • Datang haid atau nifas
  • Gila, walaupun sekejap masa dan
  • Murtad.
Allah berfirman, (mafhumnya): Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaiman diwajibkan atas orang-orang dahulu daipada kamu supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah): beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makanan orang miskin (secupak makanan asasi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya). Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui. - Al Baqarah 183-184
Puasa bulan Ramadan hukumnya adalah wajib kepada lelaki dan perempuan yang telah cukup sayarat-syaratnya:
  • Islam - orang yang masih belum Islam tidak diwajibkan berpuasa
  • Sihat tubuh badan - sihat di sini bererti berupaya mengerjakan puasa dengan sempurna dan memenuhi kewajipannya.
  • Telah sampai umur atau akhil baligh.
  • Tinggal secara tetap di sesuatu tempat. - maksud tinggal tetap di sini sesaorang itu tidak dalam perjalanan dengan jarak yanng lebih "dua marhalah"
Pengecualian Puasa
Antara mereka yang diberi pengecualian atau diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa (namun tidaklah dibebaskan dari wajib berpuasa secara mutlak) adalah:
  • Anak-anak yang belum baligh - walaupun anak-anak yang belum mencapai umur baligh tidak diwajibkan berpuasa tetapi amatlah baik andainya ibu bapa dapat melatih serta membimbing anak-anak mengerjakan ibadat puasa. Mungkin di peringkat permulaannya berupaya hingga setengah hari, tiga perempat hari, mengikut kemampuannya. Bila sampai ketikanya mereka wajib berpuasa tidaklah menjadi asing baginya dan mampu melaksanakan kewajipan ini dengan baik. Dalam hal mengerjakan ibadat ini Rasulullah saw menasihatkan ibu bapa dalam sebuah sabdanya, (maksudnya): Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang bila mereka berumur tujuh tahun, dan pukulah mereka bila mereka berumur sepuluh tahun (jika engkar tidak mahu mengerjakanny).
  • Orang sakit - seseorang yang jatuh sakit mereka tidak berupaya meneruskan puasanya dikhuatiri dengan berpuasa menambahkan kesakitannya, mereka bolehlah berbuka dan wajib qada.
  • Orang yang tidak waras - yang tidak dapat memahami apa perbuatan yang dilakukannya, atau lebih tepatnya orang gila, dan gilanya itu datang pada siang hari, mereka yang demikian tidak menjadi kewajipan berpuasa baginya, sabda Rasulullah saw, (maksudnya): diangkat pena (tidak dicatat) dari tiga orang; orang gila hingga sembuh, orang tidur hingga ia jaga dan kanak-kanak hingga ia bermimpi (dewasa) ia (orang gila) diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan.
  • Orang yang telah terlalu tua - (lelaki atau perempuan) yang langsung tidak berupaya berpuasa (dikuatiri jika mereka berpuasa akan merosakkan lagi keadaan fizikal mereka yang telah lemah).. Puasa yang ditinggalkan oleh gulungan ini hendaklah diganti (diwajibkan) dengan membayar fidyah iaitu sebanyak satu cupak (3/4 litter seharai puasa yang ditinggalkan) makanan yang boleh mengenyangkan (makanan asasi - Malaysia: beras) andainya mereka ini tidak berkemampuan mengadakan fidyah ini maka menjadi tanggungjawab ahli keluarganyalah melaksanakannya, orang-orang ini tidak diwajibkan qada.
  • Pitam sepanjang hari - mereka yang pitam sepanjang hari harus berbuka dan wajib qada.
  • Perempuan hamil - jika dikhuatiri membahayakan diri atau kandungannya diharuskan berbuka. Mereka ini wajib qada dan membayar fidyah setiap hari puasa yang ditinggalkan berdasarkan firman Allah surah Al Baqarah ayat 184 (mafhumnya): dan di atas mereka yang dapat menunaikan tetapi dengan mengandung keberatan puasa hendaklah mengeluarkan fidyah dengan memberi fidyah dengan memberi makan kepada orang-orang miskin.
  • Ibu yang menyusukan anak - jika mereka bimbang dengan berpuasa akan memudaratkan dirinya juga bayinya, mereka harus berbuka dan wajib qada.
  • Wanita dalam hai dan nifas - mereka tidak diwajibkan berpuasa, jika berpuasa pun terbatal puasanya. Mereka wajib qada.
Hikmat-hikamh daripada ibadat puasa ini amatlah banyak, antara hikmat yang jedlas ialah:
  • Bila sesaorang berpuasa ia tidak mencari yang lain kecuali keredhaan Allah serta rahmatNya.
  • Sesaorang yang sedang berpuasa seharus menjaga dirinya dari angan-angan yang kotor dan tidak berguna apatah lagi kepada yang tidak dibenarkan oleh agama. Bagi menyelamatkan nilai puasanya, sesaorang yang berpuasa seharusnya menjaga dirinya dari perilaku yang menjejaskan erti puasanya.
Untuk menjaga nilai puasa yang benar-benar diredai Allah, sesaorang yang sedang mengerjakan puasa hendaklah selalu mendekati dirinya kepada Allah
Sesaorang yang sedang menjalankan ibadat puas dengan sebaik-baiknya adalah merupakan mereka yang mampu mengendalikan nafsu. Segalanya ini menjadi perisai bagi dirinya untuk menghadapi godaan dari berbagai sudut,
  • Jangan suka merendahkan dan melecehkan orang lain serta mengucapkan sesuatu yang sinis serta mengandungi ejekkan. Walau sehebat mana pun kita janganlah memandang rendah kepada orang yang mungkin tidak sebijak kita.
  • Jangan saling mencelah, menghasut dan mencerca, di kalangan masyarakat kita sekarang ada golongan yang merasa bangga dan amat suka mengaibkan orang yang tidak sekupu dan tidak disukainya, seolah-olah mereka melupakan ingatan Rasulullah saw dalam hadis baginda yang (mafhumnya): Barangsiapa yang menutup keaiban saudaranya dalam kehidupan di dunia ini, maka Allah akan menutup keaibannya dalam kehidupannya di akhirat.
  • Tidak juga dinafikan terdapat juga di kalangan bangsa kita kini (telah menjadi budaya ?) amat suka menggelarkan sesaorang yang tidak disukainya dengan gelaran yang menyakiti hati orang yang bersangkutan.
  • Puasa yang sempurna, yakni telah mencapai tingkat puasa yang sebenarnya berupaya mengubah kebiasaan-kebiasaan yang kurang baik dalam kehidupan sehariannya
  • berhati-hati dalam segala tindakan, terutama dalam pertuturan dari lidah yang tidak bertulang. Hindari dari kata-kata yang menyinggung perasaan orang lain, seperi menyindir, tahan hati supaya tidak berhasad dengki, apa lagi menuturkan kata-kata yang jijik didengar seperti berdusta, memfitnah, mengumpat, mencarut, mengadu-dumba dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw (mafhumnya): Tidak akan masuk syurga orang yang mengadu domba. - Riwayat Bohari dan Muslim.
  • Berpuaslah dengan ertikata sebenar-benarnya, jauhi perbuatan yang tidak baik. Berpuasa tidak hanya dari menahan makan minum semata-mata. Jika kita tidak dapat menghayati puasa seperti yang dituntut iaitu menahan diri dari segala godaan syaitan, membersihkan hati dengan dendam kesumat yang tidak berkesudahan, ia adalah amat merugikan kita, kerana puasa yang demikin sifatnya ini menjadi kesukaan syaitan kerana balasan yang mungkin diterima hanya lapar dan dahaga sahaja, sabda Rasulullah saw yang memberi erti: Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak beroleh apa-apa dari puasanya selain dari lapar dan dahaga, dan berapa orang yang bangun solat malam, tetapi tidak beroleh apa-apa dari solatnya selain hanya berjaga malam.
Jangan dipersia-siakan kurniaan Allah untuk mendapat pahala yang berganda-ganda seperti yang dijanjikanNya oleh sifat kita yang merugikan.
Jangan kita menjadi seorang yang 'ahmak'
Bagi kesempurnaan yang lebih bererti di sepanjang kita menjalankan ibadat berpuasa di bulan yang penuh dengan beberapa kelebihannya ini amatlah moleknya kita amalkan tuntutan-tuntutan dengan ibadat ini, iaitu:
  • Makan sahur - guna menguatkan diri menghadapi puasa, Rasulullah saw bersabda yang (maksudnya): makan sahur itu ada berkatnya, dan sabda baginda lagi. Bantulah puasamu di siang hari itu dengan makan sahur dan solat malam dengan tidur siang.
  • Berbukalah dengan tiga biji tamar dan minumlah segelas air dan dianjurkan pula waktu berbuka itu supaya memanjatkan doa, dengan ucapan : Ya Allah untuk Engkaulah kami berpuasa dan dengan rezeki yang Engkau berikan kami berbuka.
  • Makan secukupnya sahaja, kerana menurut Rasulullah saw: orang yang makan tiada hadnya adalah kebiasaan paling buruk dan sabda baginda lagi: Mengurangkan makan adalah sesuatu ubat yang paling mujarab.
  • Saling menghubungkan silatulrahim dan mengeratkan persaudaraan
  • Melakukan solat tarawieh
  • Mempelajari dan membaca Al quran dengan sebanyak-banyaknya
  • Memperbanyakkan sedekah dan
  • Adalah lebih baik diam dari memperkatakan sesuatu yang belum tentu sah kebenarannya.

Wednesday, July 22, 2009

SESAT

KENAPAKAH ajaran-ajaran sesat silih berganti munculnya di negara ini. Agama Islam yang suci murni telah diseleweng dengan dashyatnya mengikut citarasa sesaorang "pengembangnya"
segelintir orang Islam yang sangat tipis imannya, atau kefahaman agamanya cetek, amat mudah terpengaruh dan secara tidak sedar mudah terperangkap dan juga tidak keterlalauan jika dikategorikan sebenarnya mereka mulanya secara suka-suka atau terikut-ikut mendekati ajaran ini.
Secara tidak sedar, sedikit demi sedikit mereka telah terkeluar dari landasan aqidah yang sebenarnya, akhirnya mereka terus-menerus tersesat. Mereka tidak sedar mereka telah disesatkan oleh apa yang mereka panggil "tuan guru", "bapa" atau "ustaz" atau apa saja yang lunak bunyinya.
Walaupun perkara ini disedari oleh sesaorang "guru" bahawa ajarannya telah jauhan terpesong, tetapi demi memikirkan kepentingan atau keuntungan diri mereka, maka adalah lebih baik membiarkan pengikutnya terus tersesat. Sesaorang pengikut yang terlalu taksub kepada gurunya adalah lebih melampau atau ekstrim.
Seperti yang kita ketahui beberapa ajaran sesat yang akidahnya terang-terang menyeleweng sentiasa saja muncul dan timbul di sana sini. Ajaran tersebut berbeza antara satu dengan yang lain. Jika kita renungkan dengan fikiran yang waras nescaya dapatlah kita satu jawapan yang nyata, semua ajaran yang menyesatkan sahih terkeluar dan bertentangan dengan ajaran Islam yang suci. Ajaran-ajaran yang menyeleweng ini ternyata sekali memesongkan aqidah. Ajaran ini terbukti penuh dengan kepalsuan dan kebatilan.
Batil atau palsu adalah sesuatu yang salah tidak sah serta terkeluar dari garis kebenaran yang terlarang dan haram mengikut hukum agama. Ingatlah firman Allah yang mafhumnya, "Demikian pula bahaswa Allah itu benar dan sesungghunya apa yang mereka seru selain dari Allah itu palsu" - Al Haj ayat 62 dan Lokman ayat 30.
Yang nyata agama Islam itu adalah satu-saunya agama yang diredai Allah seperti mafhum firmanNya, "Sesungguhnya agama(yang diredai) di sisi Allah hanya agama Islam".
Sebagai contoh, pada lazimnya falsafah seni mempertahankan diri yang bersifat kebatinan tidak kira apa pun namanya, diwujudkan semata-mata untuk digunakan menjaga maruah dan mempertahankan diri, jauh sekali untuk mempamirkan kejaguhan, memperagakan kekuatan, apalagi untuk bergaduh, malah dilarang samasekali untuk berbangga dan takbur. Bukankah tujuan utamanya bagi mempamirkan sifat-sifat terpuji dan sebaliknya menghindarkan semua perkara keji.
Jika kita yang dewasa masih ingat peristiwa pada tahun 1980, bagaimana sekumpulan anjaran sesat telah menyerang Balai Polis Batu Pahat, Johor. Dalam tragedi berdarah itu lapan orang dari pengamal ajaran sesat dan empat orang anggota polias telah terkorban dengan sia-sia.
Pada tahun 1985 kita telah digemparkan dengan peristiwa "Mamali" yang mana seorang guru yang dikenali sebagai "Ibrahim Libya" telah mempengaruhi pengikut-pengikutnya menentang kerajaan.
Dan masih segar dalam ingatan kita pada bulan Julai 2000 kita juga amat terperanjat dengan peristewa Al Ma'unah yang diketuai oleh Mohd. Amin bin Razali. Kumpulan ini telah bertindak lebih ganas.
Dan yang paling menyedihkan kita bagaimana seorang yang kolot seperti "Ayah Pin" dapat menarik orang yang waras ke dalam ajaran sesatnya,
Sungguhpun peristiwa-peristiwa ngeri ini telah menjadi sejarah hitam kepada Negara, namun kita tetap mengigati dan mengutipnya untuk dijadikan pengajaran yang berguna. Begitu mudah mereka bertindak sebagai ketua, memperdaya dan memesongkan pengikut-pengikutnya yang bebal. Seharusnyalah kita mengambil iktibar dari kejadian-kejadian yang telah mencemarkan Negara dan kesucian agama Islam yang mulia ini.
Sesungguhnya kita berasa hairan, sejak akhir-akhir ini sebilangan daripada kita yang professional dan intelektual dengan tahap pendidikan yang tinggi dengan mudah dapat diperdaya oleh gulungan yang rendah tahap pelajaranya. Mereka seolah-olah tidak berdaya dan berkeupayaan untuk berfikir dengan rasional. Tidakkah mereka terfikir, wajarkah seorang penjenayah dan pembunuh mengajar sesuatu kepercayaan yang jelas karut serta merosakkan agama dipanggil ustaz. Adakah apabila seseorang itu telah berserban dan berjubah ianya sudah cukup layak untuk diberi gelaran "Ustaz" atau "Ulama" tidakkah gelaran ini cukup mulia disisi islam. Patutkah orang-orang seperti ini diagungkan?, hinggakan kata-kata serta tindak-tanduknya tidak perlu difikirkan benar salahnya?.
Akhirnya hayatilah hadis Rasulullah s.a.w yang mafhumnya, "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknat oleh Allah. " Para sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah apakah tujuh perkara itu? Rasulullah menjawab, Mensyirikan Allah iaitu menyengtukan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran, menfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasulnya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.
Kita semua perlu bertindak sebelum segalanya menjadi tidak terkawal. Kepada pengikut-pengikut yang telah tersalah langkah undurlah, jika telah terseset di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan penerima taubat.

Monday, March 30, 2009

MEMBACA -MENINGKATKAN PENGETAHUAN

NYATALAH, membaca akan memperkayakan maklumat, memantapkan fikiran dan mendewasakan tindakan. Mereka yang suka dan banyak membaca tentulah beroleh banyak maklumat, ideanya selalu bernas dan tindakanya mantap dan kemas. Membaca juga boleh mebebaskan minda, membina sifat positif, terbuka dan lapang dada, boleh menerima teguran, mudah diajak berbincang ke arah kebaikan, tegasnya mereka yang banyak membaca tentunya berjiwa besar, biasanya mampu menyumbang sesuatu yang bernas dan berguna kepada masyarakat mungkin juga berguna kepada negara.

Bukankah sejarah perkembangan tamadun Islam bermula dengan cetusan yang bagitu unik, "Iqrak" - bacalah!, itulah cetusan awal wahyu pertama yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada pesuruhnya yang Agong, Mohammad SAW, agar disuburkan di kalangan umatnya budaya membaca.

Ketika bangsa-bangasa lainya sezaman dengannya rata-rata masih teraba-raba untuk mengenal
huruf dan tulisan, Allah telah memperkenalkan kepada umat Islam budaya membaca. Di kala pena dan tinta terlalu asing bagi mereka. Allah telah memerintahkan kepada umat Islam menggunakan qalam. lebih jauh lagi di kala dunia masih buta tentang sains dan perubatan Allah memperkenalkan kita ilmu bailogi tentang proses kejadian manusia, pengetahuan ini terkandung dalam wahyu pertama yang rengkas namun cukup kemas. Allah berfirman, (Maksudnya):

Bacalah (wahai Mohammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang amat pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. -Al Alaq 1 - 5

Peristiwa gempar di gua Hiraq ini memberi pengajaran yang besar untuk dijadikan iktibar, Allah Maha mengetahui dan Jibril juga tahu bahawa Mohammad itu seorang yang 'ummi' tidak tahu membaca dan menulis, "saya tidak tahun membaca" jawab baginda apabila disuruh membaca oleh Jibril. Namun tidak tahu bukan alasan untuk terus tinggal beku, tidak berdaya bukan jawapan untuk terus tidak mencuba

Berkali-kali Jibril memeluk baginda memasukkan keberanian, keyakinan dan dorongan, setelah kali ketiga akhirnya baginda berjaya. Ternyata bahawa bimbingan dan dorongan bagitu penting dalam pembudayaan "Iqrak" dapatlah kita fahami bahawa galakkan dan rangsangan adalah perlu dalam apa saja pembelajaran

Kecemerlangan peradapan tamadun ilmu adalah kesan lansung dari budaya iqrak ini.

Benarlah janaji Allah bahawa orang yang berilmu samada ilmu duniawi atau ukhrawi, fardu ain atau fardu kifayah tetap teristimewa dan berbeza daripada yang lain-lain sebagaimana firman Allah, (maksudnya):

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat. - Al Mujaadalah ayat 11.

Kita perlu hidup suburkan budaya membaca di semua peringkat terutama di peringkat rumahtangga, ibu bapa mesti menjadi penggerak dan contoh supaya senang diikuti oleh ahli keluarga. Buang anggapan budaya membaca adalah satu proses yang membebankan.

Wujudkan perpustakaan mini di rumah dan belikan buku-buku bermutu untuk bacaan dan rujukan, jangan merasa rugi atau teragak-agak untuk membeli bahan-bahan bacaan dengan alasan mahal.
Jika kita kurang mampu membeli buku-buku, bawalah keluarga ke perpustakaan awam, expo dan atau pamiran buku seumpamanya supaya suasana bagini dapat mendorong dan menyuntik semangat gemar mebaca. Untuk itu perlulah diperbanyakkan perpustakaan awam, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak, masjid juga patut mempunyai perpustakaan sendiri, bagi menyuburkan budaya membaca ini di kalanagan ahli jemaah dan masyarakat sekitar. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah SAW kepada kita sepanjang zaman sejak arahan pertama aginda terima agar menyuburkan budaya ilmu dan budaya membaca sebagaimana sabda bagainada, (Maksudnya):
Menuntut ilmu itu aalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim.
Marilah kita kembali kepada seruan Allah dengan memperteguhkan iman dan memperkokohkan jati diri sebagai Muslim sejati. Satu-satunya cara untuk membina diri dan membentuk identiti ialah dengan memperkayakan ilmu, mereka yang kaya dengan ilmu, mampu menepis dan memilih perkara-perkara yang bermanfaat dan mampu menangkis unsur-unsur yang negetif. Satu-satunya jalan bagi mendapatkan ilmu yanga berguna dan membina ialah dengan banyak membaca, membaca dari sumber-sumber yang benar dan sahih. Marilah kita menghidupkan kembali tamadun iqrak, budaya membaca telah diajarkan oleh Rasulullah SAW, mudah-mudahan dengan kekuatan ilmu kita dapat mencipta kecemerlangan dan mempertabatkan umat ke mercu kejayaan di samping itu mampu pula bersaing di era globalisasi di alap mendatang yanga cukup mencabar, semuga kita semua tergulung sebagai "khairul ummah" - sebaik-baik ummah.
Nota kaki: Rupa-rupanya orang kita (maksudnya datuk nenek kita) telah terlebih dahulu sedar betapa perlunya membaca bagi mendapat ilmu seperti yang diharapakan dalam dendangan kepada anak-anaknya:
Timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi, sudah pandaai baca kitab
Sedarlah kita bahawa lagi banyak kita membaca dan mendapat pengetahuan darinya selagi itulah kita sedar dari keegoan kita, bahawa selama ini kita sebenarnya jahil dalam banyak hal, kerana banyak yang kita tidak tahu selama ini, tetapi kini setelah kita mendalami dari bahan-bahan bacaan barulah kita sedar di mana kita sebenarnya. Dari itu teruskan membaca.