Saturday, August 22, 2009

RAMADAN, BULAN KEBENARAN, KEKUATAN, KEBEBASAN DAN KEADILAN

Rasulullah saw menyeru dalam sabdanya (mafhumnya): "Wahai manusia, bulan yang besar dan barkat telah tiba kepadamu. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah memfardukan berpuasa pada bulan itu dan menjadikan ibadat malamnya sebagai amalan sunat. Barangsiapa yang menghampirkan diri kepada Allah pada bulan itu denagn satu kebaikan maka bagaikan ia menunaikan satu amalan fardu pada bulan yang lain. Barangsiapa yang menunaikan satu kefarduan maka bagaikan ia menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain. ia adalah bulan kesabaran, kesabaran itu ganjarannya syurga. Ia adalah bulan keselesaaan dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman". Demikian khutubah yang disampaikan oleh Rasulullah saw pada akhir bulan Syaaban.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita ucapkan berbanyak-banyak syukur ke hadrat Allah awt kerana dengan limpah kurnianya sekali lagi diberi-Nya peluang menyedut udara Ramadan. Ramadan bulan yang penuh keberkataan. Siapa yang menduga kita dapat menyambut bulan mulia ini pada tahun ini. Berapa ramai sahabat kita yang sama-sama menyambut Ramadan tahun-tahun yang lalu, tetapi Ramdan kali ini mereka tidak lagi bersama-sama kita, lantaran telah dipanggil pulang oleh Allah Azzawajalla.
Jadi anggaplah Ramadan kali ini umpama Ramadan yang terakhir buat kita . Sebaba itu jadikan Ramadan 'akhir' ini yang terbaik jangan kita lalai merebut peluang bagi mecari keredaan Allah.
Ya tuan-tuan dan puan-puan. Jika di tinjau kepada aspek puasa itu sendiri ia merupakan salah satu ibadat yang berdiri di atas dasar-dasar kesabaran. Sabar mentaati perintah Allah swt dan sabar meninggalkan larangan-larangan serta sabar menghadapi penderitaan lapar dan dahaga dalam kaadaan jasmani yang lemah, sebab itulah Rasulullah saw menamakan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai bulan kesabaran seperti sabdanya (Mafhumnya):Puasa itu separuh dari kesabaran. dan sabda baginda lagi (mafhumnya): Sabar adalah separuh dari iman.
Muslimin Muslimat sekalian,
Sesuatu yang harus kita tanamkan di hati bahawa bulan puasa ini sebenarnya bulan yang diharapkan kita semua lebih bertakwa seperti firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman di wajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah di wajibkan kepada orang sebelum kamu Semua kamu betakwa.
Dalam hal takwa ini Allah juga telah berfirman dalam surah Asysyu'ara ayat 90 yang mafhumnya: Dan syurga itu didekatkan kepada orang yang bertakwa
Dalam surah Al Baqarah ayat 197 pula Allah berfirman: (mafhumnya): hendaklah kamu membawa bekal secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah takwa.
Muslimin, muslimat yang dirahmati Allah
Marilah kita tekadkan di hati supaya hari ini lebih takwa dari semalam, tahun ini lebih takwa dari tahun-tahun sebelumnya. insya Allah
Sidang jemaah para tetamu Allah sekalian,
Ibadat puasa sebenarnya mempunyai falsafah yang amat menarik untuk dihayati. Ia bukan sekadar berlapar di siang hari serta menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat berkenaan, tetapi ia mempunyai manifestasi yang luas, merangkumi berbagai aspek kehidupan. Ia membabitkan kesucian hati, keikhlasan pengabadian dan rendah diri, simpati dan banyak lagi kesan-kesan daripadanya.
Dalam syariat Islam, puasa mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar dan bulan ibadat ini sekiranya dihayati sepenuhnya ia boleh meningkatkan ketakwaan orang mukmin terhadap Allah SWT. Dengan itu sewajarnyalah umat Islam mengambil kesempatan dari bulan Ramadan untuk beramal soleh dan mengimarahkan masjid untuk lebih rajin melakukan ibadat dan ketaatan, seperti memprbanyakkan sedekah dan menghulurkan pertolongan, membaca Al Quran, bertaraweh dan lain-lain lagi. Rebutlah peluang atas kemurahan Allah ini dengan sebaik-baiknya.
Akhirnya sukalah saya memetik sebuah hadis Rasulullah saw yang mafhumnya: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan dan aku telah sunahkan kepada kamu berdiri pada malamnya (solat sunat taraweh) dan barangsiapa yang berpuasa pada siang hari dan solat (solat taraweh pada malamnya kerana mengharapkan keredaan Allah nescaya keluarlah ia yakni selamatlah dia dari dosa seperti hari ia dilakhirkan oleh ibunya.
Suka juga saya maklumkan di sini iaitu bayaran fitrah tahun ini (tahun 1430 H) ialah RM 7.00 bagi satu fitrah. Silalah tunaikan kewajipan ini mulai satu Ramadan hingga sebelum solat sunat aidilfitri. Namun bagitu membayar lebih awal adalah lebih menyenangkan amil-amil kami juga diri Tuan-tuan sekalian.
Seperti tahun-tahun lalu pihak masjid mengadakan majlis berbuka puasa di masjid, saya dengan hormatnya mempersilakan semua jemaah sama-sama berbuka di masjid, lima belas minit sebelum berbuka sama-sama kita bertahalil arawah. Bagitu juga pihak masjid ada menyediakan bubur lambuk untuk anak-anak kariah, Tuan-tuan dan puan dipersilakan datang mengambil bibur ini selepas waktu asar.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamuaikum w.r k.
(antara petikkan ucapan yang disampaikan kepada jemaah MASJID ABU UBAIDAH AL JARAH, TAMAN SRI RAMPAI pada malam pertama menyambut Ramadan)