Sunday, February 22, 2009

UCAPKANLAH SALAM

Al Imam Ghazali pernah berkata, maksudnya: "Agama Islam itu agama berkasih sayang sesama manusia dan beribadat kepada Allah" Ini adalah rahsia kekuatan umat Islam di zaman jayanya. Hari ini keadaan itu telah jauh berubah, kasih sayang antara kita sesama Islam tidak berapa rapat atau semakin renggang, perpaduan antara kita tidak bagitu erat, akibatnya kedudukkan kita dalam semua segi menjadi lemah , sedangkan perkara ini amat penting kita hidupkan kembali kerana kiranya benar-benar umat Islam ingin bangkit dan hidup mulia di antara umat-umat lain di dunia.
Bukankah Nabi kita telah bersabda, maksudnya: Kamu tidak akan masuk syurgasehingga kamu telah beriman, dan kamu belum sempurna beriman sehingga kamu berkasih sayang antara kamu. Tidakkah telah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu perkara apabila kamu amalkan dia nescaya kamu akan kasih sayang sesama kamu, iaitu menyebarkan salam antara kamu.
Alangkah sucinya hadis ini, dan alangkah besar ertinya bagi kita bagi kita kaum muslimin yang sedang diserang penyakit demam berpecah-belah. Marilah kita hidupkan semula amanah Rasulullah saw, moga-moga dengannya kita dapat merasa kemanisan persaudaraan dan kasih sayang sesama kita, manakala rasa kasih sayang itu telah meresap disanubari kita, akan lenyaplah rasa hasad, dengki, dendam, khianat, takbur dan sifat-sifat yang mementingkan diri sendiri.
Demikianlah Rasulullah saw telah menunjukkan kepada kita jalan berkasih sayang iaitu dengan melazimkan memberi salam manakala kita bertemu antara satu dengan lain, ucapkan salam "Assalamualaikum" manakala kita bertemu saudara-saudara kita itu, siang atau malam di jalan atau dirumah, di mana-mana sahaja.
Bagi pihak yang menerima salam itu itu pula diwajibkan menjawab, oleh itu jawablah dengan yang lebih baik umpamanya, "Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Janganlah hendaknya ada diantara kita yang bersaudara merasa sombong kerana kebesaran darjat, berlainan fahaman politik, pangkat atau kekayaan harta hinga tak sudi menjawab salam saudaranya, ini bukanlah sifat orang Islam sejati, bahkan itulah sifat orang munafik. Allah sangat benci kepada orang yang takbur sombong.
Dalam hal kesombongan ini Allah telah berfirma, maksudnya, "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau brjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri" (suarh Lokman ayat 18)
Jika kita sedang berjalan, kitalah sepatutnya mendahului memberi salam kepada mereka yang duduk, anak-anak patut mendahului memberi salam kepada ibu bapanya, murid-murid patut mendahului salamnya kepada gurunya, orang-orang muda patut mendahulukan salamnya kepada yang lebih tua, dan sambutlah salam itu dengan bersungguh-sungguh, seta hulurkan tangan untuk berjabat tangan, lakukan dengan ikhlas hingga dirasakan benar-benar sahdu dan kesannya benar-benar menusuk kalbu, dan akhirnya terjalinlah kasih sayang.

Pada akhir-akhir ini rasa kasih sayang antara umat Islam banyak berasaskan kepada persamaan Muslihat dan faedah tidak banyak diasaskan di atas rasa persaudaraan yang luhur dan sejati.. pada lahirnya kita bersatu, tetapi kita tetap kalah dalam medan-medan perjuangan hidup, dalam bidang pelajaran, ekonomi dan sebagainya, hingga mana-mana umat Islam seluruhnya dianggap sepi sahaja oleh orang-orang yang bukan Islam di tanah airnya kerana orang-orang yang bukan Islam tahu bahawa kita mudah berpaecah-belah dan mudah dipecah - belahkan dan mereka juga tahu kita tidak bersatu padu.

Saidina Abdullah bin Amru meriwayatkan,” Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah saw dengan katanya, (maksudnya), “Apakah Islam yang lebih baik wahai Rasulullah? Sabda baginda, (maksudnya), “Amalan yang baik itu ialah menjamu makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal atau tidak kenal”.

-Bersatu teguh bercerai roboh, muafakat membawa berkat, bersengketa membawa mudarat.

Sunday, February 15, 2009

GEJALA SOSIAL - puncanya di mana?

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia juga tidak terlepas dari masalah sosial, sejak akhir-akhir ini masalah sosial di negara ini amat kritikal. Antara sebab utamanya adalah kerana penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar, peningkatan penduduk bandar, kelemahan perancangan bandar, pembentukkan kawasan melarat, kemerusutan kualiti hidup, tekanan hidup dan sebagainya itu menyebabkan masalah sosial di bandar metropoliten ini semakin kompleks.
Penghijarahan penduduk daripada luar bandar ke bandar adalah satu fenomena yang bekaitan dengan ketidak seimbangan dan masalah kemiskinan luar bandar. Bandar pada ingatan mereka di gambarkan sebagai tempat yang lebih baik bagi mencapai impian anak-anak muda untuk menapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, sekaligus membebaskan diri mereka daripada kongkongan dan belenggu kemiskinan dan kemudaratan di luar bandar. Malangnya disebabkan kelemahan yanag dihadapi seprti taraf pendidikan yang lemah, tidak mempunyai kemahiran dan lain-lain kelemahan yang tidak sesuai dengan kehidupan bandar, menyebabkan gulungan ini menjadi punca kepada berlakunya berbagai masalah sosial di bandar.
Banyak gejala buruk dan songsang berlaku dalam masyarakat kita hari ini seperti: sambutan hari kekasih (valentine's day) - pada 14 Februari setiap tahun. Budaya ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana hubungan mesra pasangan kekasih tanpa ikatan perkahwinan. Gejala buruk juga mempenngaruhi anak-anak gulungan kelas bawahan seperti merokok, mencuri, menagih dadah, vandalisme, ponteng sekolah, gengsterisme, keciciran sekolah dan berbagai-bagai lagi.
Selain keluarga miskin, masyarakat bandar juga berhadapan dengan keluarga yang tempang. Berita-berita buruk tentang bangsa kita makin panas tersiar di akhbar, ada berita ibu bapa kehilangan anak gadis dan berita-berita khalwat dan rogol saban hari menghiasi dada-dada akhbar. Bagitu juga berita meningkatnya perceraian, kematian suami atau isteri, 'kehilangan' suami atau isteri ditambah dengan wanita yang tidak berkahwin tetapi mempunyai anak-anak yang tidak cukup syarat atau dalam bahasa kasarnya 'anak gampang' hasil hubungan dengan pasangan atau teman lelaki yang mengamalkan kebebasan seks tanpa perkahwinan.
Masalah sosial yang ditimbulkan oleh gululngan belia di bandar-bandar amat kritikal, tingkah laku buruk seperti kutu rayau, mengusik dan menggangu wanita, berpeleseren, melepak di pusat-pusat membeli belah, merosakkan harta awam adalah ciri-ciri kelemahan mereka dari segi disiplin, tidak bertanggungjawab dan tidak langsung menghormati orang lain samada tua muda.
Bagitu juga dengan kegiatan perlumbaan haram motosikal atau kereta yang melibatakan gulungan muda (Melayu tentunya) adalah satu masalah sosial yang serious. Jika gejala sosial dan jenayah ini dibiarkan berleluasa ianya akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.
Anasir-anasir tidak sihat ini menyelinap masuk ke pemikiran belia-belia Islam, sekaligus mempengaruhi gaya hidup mereka. Ia lebh ketara melanda gulungan muda mudi yang lemah imannya sehingga mereka sanggup mengabaikan tuntutan agama dan menjauhkan diri dari ajaran Islam, akhirnya, mereka hanyut dengan budaya yang merugikan dan meminggirkan nilai-nilai akhlak Islam yang lohor, hilang pedoman dan semakin jauh dari hidayah Allah SWT
Bukankah Allah telah mengingatkan kita semua seperti dalam firmanNya (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh, janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan itu) bagimu adalah musuh yang jelas nyata. (Al-Baqarah 208).
KESIMPULANNYA: Kita sewajarnya sedar bahawa dasar ekonomi baru (DEB) diujudkan antara tujuan utamanya ialah: Untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.
Setakat mana kita telah mencapai matlamat DEB itu?
Yang nyata kita masih di takuk lama, malah kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain (dari segala bidang). Amat jauh.

Sunday, February 8, 2009

RASUAH

RASUAH

RASUAH – seperti barah, barah jika tidak diubati di peringkat awal akan merebak dan memusnahkan kehidupan, begitulah bahayanya rasuah bagi sebuah kehidupan dan juga bagi sebuah Negara.

Kenapa tidak? Rasuah boleh menutup mulut manusia dari berkata-kata benar, rasuah boleh menutup meriam dari menentang musuhnya. Di sebalik itu, rasuah boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh membenarkan sesuatu yang salah, dan menyalahkan sesuatu yang benar.
Rasuah boleh membeli kasih sayang. Rasuah boleh mengotorkan jiwa orang yang bersih, rasuah juga boleh membuka pintu-pintu rahsia dan boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh memalingkan orang yang ikhlas menjadi khianat, menukarkan pahlawan menjadi penakut dan akhirnya menyebabkan kubu-kubu dan benteng-benteng kukuh tidak berguna dan tentera yang banyak tidak bererti. Dari sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, (Maksudnya): “Tuhan melaknat pemberi rasuah dan penerimanya”
Jika kita telah mengetahui rasuah itu adalah suatu penyakit yang akan membawa keruntuhan masyarakat dan negara, kita sebagai orang yang sihat tentu tidak mahu melihat peyakit ini menular memusnahkan kita dan keturunan kita, seterusnya melemahkan Negara.
Sebenarnya ia merugikan, memalukan dan amat menjijikkan.
Apa yang nyata, ia menguntungkan (untung yang sementara) segelintir manusia yang lapar, lahab dan rakus yang berfikiran wang adalah segala-galanya. Hilang harga diri kerana mengejar daki dunia ini.
Mereka yang menabur wang bagi mendapatkan kedudukan, jika mereka ini beroleh kemenangan, patut merasa malu kepada diri sendiri. Kemenangan itu bukan kerana kewibawaan, ia adalah kemenangan yang dibeli dan bukan dipilih kerana ketokohan.
Perbuatan ini (pemberi dan penerima) amat ditegah dalam Islam.
Rasuah bukan hanya berbentuk wang ringgit sahaja, tetapi menyogokkan wanita juga adalah satu bentuk rasuah yang amat hina.
Rasuah amat berbahaya, faedahnya cuma kembali kepada mereka yang memberi dan menerimanya sahaja, sedangkan bahayanya apabila sudah membesar akan melibatkan seluruh bangsa dan negara.
Rasuah yang merebak dalam kehidupan masyarakat meninggalkan padah dan gejala yang sangat buruk dan negatif. Ia dapat memutar belitkan kebenaran, malah kebatilan dapat menjadi kenyataan, serta ia meracuni nilai akhlak yang mulia.
Meskipun rasuah belum ditemui titik noktahnya, namun ia bukan lah satu mistik di alam misteri. Sesungguhnya barah sosial ini wajib dibanterasi, kerana ia mengundang akibat yang sangat kompleks dalam kehidupan masyarakat samada di dunia mahupun di akhirat. Malah sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah boleh merugikan negara dan negara akan jatuh muflis sekiranya gejala buruk ini tidak dibanteras hingga ke akar umbinya.
Mungkinkah penyakit ini dapat dikikis dalam UMNO? Kita patut sedar akan hakikat rasuah ini. Jangan kita fokuskan rasuah kepada UMNO semata-mata, kerana rasuah ada di mana-mana yang dilakukan oleh segelintir kakitangan yang tidak amanah seperti di Bandaraya, di majlis-majlis tempatan, di pejabat-pejabat kerajaan seperti di pejabat tanah, di JPJ, puspakom dan juga Polis (setakat menyebut satu dua contoh sahaja). Umum mengetahui semua ini. Rasuah boleh terjadi di mana-mana sahaja. Jika yang memberi dan yang menerima mempunyai kesedaran, ia tidak mustahil dapat dikikis dan dibersihkan puncanya. Apa yang pasti, mereka yang terlibat (pemberi dan penerima) patut merasa malu. Malu pada diri sendiri dan malu kepada Tuhan yang sentiasa memerhati.
Perangai rasuah (untuk memerangi sediakan senjata yang setanding dengan kekuatannya, jangan sebutkan sahaja ‘perangai’ tetapi senjatanya tiada yang menggerunkan musuh). Tanamkan kebencian pada rasuah, bersihkan darah daging anda dari unsur rasuah dan hiduplah tanpa rasuah.